Semak latar belakang pemohon, elak tunggakan hutang – Ahli Majlis

GEORGE TOWN – Mulai Ogos 2016, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapatkan khidmat sebuah agensi rujukan kredit, bagi menyemak latar belakang kredit syarikat, perniagaan dan individu yang membuat permohonan terhadap harta sewaan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan.

Ahli Majlis MBPP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan, Joseph Ng Soon Siang berkata, inisiatif tersebut merupakan pendekatan tambahan baru yang digunakan Majlis bagi mengesan, membuat semakan dan mengakses maklumat pemohon sebelum permohonan diluluskan.

“Majlis kini mengambil langkah lebih proaktif dengan mendapatkan khidmat agensi rujukan kredit.

“Dengan menggunakan pilot sistem ini, MBPP boleh menyemak sekiranya pemohon mempunyai rekod buruk atau pernah disenarai hitam sebelum ini.

“Selepas itu, baru kita (Majlis) buat penilian dan keputusan sama ada layak atau sebaliknya. Proses yang komprehensif ini akan mengelakkan MBPP daripada menghadapi masalah tunggakan hutang di masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Biasa Majlis MBPP di sini barubaru ini.

Syarikat dilantik adalah sebuah agensi berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang dikendalikan secara profesional dalam menyediakan perkhidmatan maklumat kredit di seluruh Malaysia.

Menurut Soon Siang, proses semakan daripada agensi rujukan kredit seumpamanya turut digunapakai oleh semua bank dan institusi kewangan di negara ini.

“Ini adalah cara bagi mengetahui keupayaan seseorang pemohon untuk membuat pembayaran melalui latar belakang kredit terdahulu mereka,” jelas beliau.