Serambi PI : Pencemaran alam sekitar

SAYA ingin bermula dengan isu di kawasan saya, iaitu mengenai pencemaran sungai di Batu Ferringhi, Pulau Pinang, yang telah dihebahkan di media massa baru-baru ini. Pada awal bulan Februari, para pelancong, peniaga dan penduduk di sekitar Sungai Batu Ferringhi menerima kejutan apabila sungai tersebut tiba-tiba bertukar warna menjadi gelap serta berbau busuk.

Ekoran aduan yang diterima, lawatan tapak dan siasatan telah dilakukan oleh pihak-pihak berkuasa iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Hasil daripada siasatan tersebut, salah satu punca utama pencemaran telah dikenalpasti sebagai paip loji rawatan kumbahan yang dimiliki Indah Water Konsortium (IWK).

Menurut laporan JPS, paip tersebut didapati mengeluarkan air efluen yang amat keruh dan berwarna gelap. Pencemaran ini didapati berlaku sepanjang jarak daripada paip IWK tersebut sehingga ke muara Sungai Batu Ferringhi.

Pada 9 Februari, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar telah melakukan lawatan kerja ke sungai tersebut, di mana beliau sendiri mengakui bahawa salah satu punca pencemaran adalah loji rawatan kumbahan IWK. Beliau seterusnya menyarankan agar IWK tidak melepaskan efluen kepada sungai atau pantai, di samping berjanji untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas mereka yang bertanggungjawab dalam masa “satu atau dua minggu.”

Justeru, saya ingin bertanya sama ada apa-apa tindakan sudah diambil seperti yang dijanjikan. Pada masa yang sama, saya juga ingin tahu apakah langkah seterusnya yang akan diambil untuk memastikan IWK tidak lagi melepaskan efluen mereka ke dalam sungai dan pantai, bukan sahaja di Batu Ferringhi malah di kawasankawasan lain di Pulau Pinang.

Tambahan pula, saya mendapat maklumat bahawa terdapat kemungkinan loji-loji rawatan kumbahan IWK di Pulau Pinang sedang beroperasi dengan melampaui kemampuannya (over-capacity). Sekiranya benar, keadaan ini mendatangkan risiko yang amat besar kepada alam sekitar, industri pelancongan serta kesihatan pendudukpenduduk di sekitar sungai dan pantai.

Oleh itu, saya cadangkan agar pihak Kementerian mengarahkan audit luaran dilakukan ke atas semua loji rawatan kumbahan IWK di Pulau Pinang untuk memastikan keselamatan dan kemampuan loji-loji tersebut, dankemudiannya mendedahkan hasil laporan kepada orang ramai.

 

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

Tuan yang dipertua,

Berkenaan dengan isu Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA), saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas keterbukaan beliau untuk membentangkan perjanjian TPPA di Parlimen. Saya menyambut langkah ini sebagai langkah positif.

Pun begitu, saya ingin mencadangkan agar perjanjian TPPA ini terlebih dahulunya diterjemahkan ke dalam Bahasa Kebangsaan sebelum dibentangkan di Parlimen, berserta dengan kajian kepentingan nasional (national interest study) bagi setiap 29 bab dalam perjanjian tersebut.

Cadangan ini adalah berdasarkan pengalaman di Parlimen Korea Selatan semasa pembentangan Perjanjian Perdagangan Bebas Korea Selatan dan Amerika Syarikat (KORUS), di mana teks bahasa Inggeris telah digunakan. Ini mendatangkan banyak masalah kerana kebanyakan Ahli Parlimen Korea Selatan tidak fasih berbahasa Inggeris. Akhirnya, perbahasan yang dijalankan tidak bermakna walaupun implikasi perjanjian tersebut adalah sangat penting bagi negara mereka.

Jesteru, bagi mengelakkan kejadian yang sedemikian rupa di Malaysia, saya harap Kementerian akan mempertimbangkan untuk menyediakan penterjemahan perjanjian TPPA sebelum perbahasan berlangsung. Pada masa yang sama, saya juga bercadang agar masa sekurang-kurangnya tiga bulan diberi kepada Ahli Parlimen untuk mengkaji dan meneliti kandungan perjanjian tersebut sebelum ia dibahas, lebihlebih lagi kerana skop TPPA ini adalah  jauh lebih luas berbanding perjanjian Korea Selatan dan mengandungi lebih kurang 3,000 muka surat.

 

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

Tuan yang dipertua,

Saya ingin mengangkat satu lagi kontroversi pada hari ini, iaitu sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Pelaksanaan PBS setakat ini berhadapandengan kritikan yang lantang daripada pelbagai pihak, khususnya golongan guru, sehingga tunjuk perasaan telah dianjurkan oleh NGO Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) pada 22 Februari 2014.

Faktor utama bantahan terhadap PBS adalah kerana sistem ini membebankan guru dan mengganggu peranan utama mereka, iaitu mendidik murid. Tugas pengkeranian (clerical work) bagi menguruskan PBS merumitkan lagi kerja guru, sementara ketidakupayaan perisian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) untuk menampung trafik yang besar telah mengakibatkan ramai guru terpaksa membazir masa sehingga ke larut malam untuk memasukkan data.

Justeru, berikutan tunjuk perasaan oleh SGMM pada 22 Februari 2014, Kementerian telah menangguhkan pelaksanaan PBS sementara ia dikaji semula. Kelmarin, Menteri Pendidikan mengumumkan bahawa sistem PBS telah pun dirombak semula dan akan disambung pelaksanaannya mulai 1 April 2014.

Pendekatan PBS yang baru tidak lagi memerlukan kerja pengkeranian untuk memasuki data secara online. Sebaliknya, guru perlu mentaksir dan merekodkan perkembangan murid berdasarkan kesesuaian masa dan kaedah penilaian mereka sendiri. Dengan kata lain, kebanyakan aspek yang menjadi bantahan guru telah dimansuhkan.

Oleh itu, memandangkan semua rungutan guru sudah pun dibuktikan betul dan berasas, saya ingin bertanya sama ada Kementerian bercadang untuk membatalkan arahan pindah sekolah yang dikenakan ke atas segolongan guru yang tampil menyuarakan rintihan mereka mengenai pelaksanaan PBS, termasuk ketua SGMM, Mohd Nor Izzat Johari yang diberi notis pindahan secara mengejut ke sebuah sekolah luar bandar di Pahang yang terletak 80km dari tempat tinggalnya.

Sekiranya Kementerian serius dalam usaha meningkatkan kualiti guru dan ingin menarik tenaga pengajar yang berdedikasi dan bermotivasi, maka pemangsaan guru harus dihentikan dengan segera.

Penapisan dan pengharaman buku

Tuan yang dipertua,

Penapisan sering menjadi polemik yang membingungkan di negara ini. Hal ini bukan hanya melibatkan penapisan filem dan media massa, malah bukubuku ilmu juga dijadikan mangsa penapisan yang bermotif politik.

Terdapat banyak buku yang diiktiraf kesarjanaannya di peringkat antarabangsa yang diharamkan di Malaysia seperti karya-karya John L Esposito, Karen Amstrong, Fatima Mernissi dan lain-lain lagi. Saya maklum sebahagian daripada idea mereka ini menimbulkan kontroversi, namun pengharaman buku-buku tersebut hanya menghalang masyarakat Malaysia daripada wacana kontemporari dunia.

Yang lebih membingungkan lagi, terdapat buku-buku di mana versi bahasa Inggerisnya boleh dijumpai di rak-rak kedai buku di seluruh negara, namun terjemahan bahasa Melayunya menjadi buku terlarang dalam senarai Kementerian Dalam Negeri. Sebagai contoh, buku The Origin of Species (1859) karya Charles Darwin boleh dibeli oleh sesiapa sahaja di mana-mana kedai buku, tetapi Asal Usul Spesies (2002) terjemahan F Susilohardo dan Basuki Hernowo pula diharamkan.

Tindakan sebegini bukan sahaja mendiskriminasikan masyarakat Melayu malah memandang rendah terhadap mereka, seolah-olah mereka tidak cukup rasional dan cerdik untuk membaca karya besar dunia berbanding mereka yang mampu berbahasa Inggeris.

Adakah tindakan untuk mengharamkan terjemahan bahasa Melayu bagi buku Asal Usul Spesies serta puluhan lebih buku lagi yang serupa nasibnya ini satu tindakan birokrasi ataupun berpunca daripada arahan politik? Apa pun jawapannya, ia jelas mencerminkan minda tertawan dalam kalangan kepimpinan negara kita.

Pun begitu, dasar yang dilaksanakan ini tidak konsisten. Sekiranya Asal Usul Spesies diharamkan bagi mengelakkan orang Melayu keliru dan menganut kefahaman positivisme, lalu mengapakah buku Du Contrat Social (1762) oleh Jean-Jacques Rousseau yang diterjemahkan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1991 sehingga kini tidak menjadikan Malaysia lebih demokratik dan menghormati doktrin pengasingan kuasa?

Hakikatnya, kebanyakan tamadun dunia berkembang atas usaha penterjemahan. Ini kerana penterjemahan bukan sahaja soal penyalinan kata dalam bahasa yang berbeza tetapi pemindahan serta pengolahan maklumat, ilmu dan pengalaman sejarah sesuatu kebudayaan.

Dalam sejarah Islam, ketika zaman Harun al-Rashid (786-808) apabilaBaitul Hikmah giat menjadi pusat penterjemahan karya-karya sarjana Greek seperti Hippocrates, Euclid, Plato, Aristotle, Galen dan lain-lain lagi, umat Islam bukan sahaja tidak terancam malahan telah memperkayakan keilmuan Islam serta melahirkan sarjana Islam yang masyhur seperti Khwarizmi, Jabir Hayyan, Abu Bakr al-Razi, al- Farabi, dan Abu Rayhan al-Biruni yang masing-masing menerbitkan karya yang sangat berpengaruh hasil pengolahan ilmu daripada tamadun Greek.

Sudahlah kita mengharamkan terjemahan buku bahasa asing ke dalam bahasa Melayu, malah buku oleh sarjana tempatan juga amat lemah usaha penterjemahannya. Ambil sebagai contoh buku Syed Hussein Alatas,\ Intellectuals in Developing Society yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris pada tahun 1977. Edisi bahasa Melayu buku tersebut hanya diterbitkan oleh DBP selepas 13 tahun, iaitu pada tahun 1990. Itu pun ia sekadar “penyesuaian” berdasarkan edisi bahasa Indonesia yang diterbitkan terlebih dahulu.

Malaysia mempunyai Institut Terjemahan Negara Malaysia atau kini dikenali sebagai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang ditubuhkan pada tahun 1993. Malangnya, institut ini tidak menumpukan usaha dalam penterjemahan, sebaliknya sejak tahun 2011 lebih giat menerbitkan karya asli yang bertindih dengan fungsi DBP. Entah kebetulan, ITBM pada tahun yang sama menerbitkan buku YAB Perdana Menteri yang berjudul Perkhidmatan Awam: Meneraju Perubahan, Melangkau Jangkaan dan buku YAB Timbalan Perdana Menteri, Sudut Pandang Muhyiddin Yassin.

Cuba bayangkan sekiranya Khalifah Harun al-Rashid menggunakan Baitul Hikmah untuk menerbitkan buku sendiri – adakah zaman baginda akan dikenali sehingga sekarang sebagai zaman kegemilangan keilmuan Islam?

Di sini, saya mengakhiri ucapan saya dengan memetik kata-kata Plato, yang berbunyi: “Kita boleh memaafkan seorang kanak-kanak yang takut kepada kegelapan; tragedi sebenar berlaku apabila orang dewasa takut kepada pencerahan.”

Sekian, terima kasih.

 

ZAIRIL KHIR JOHARI

Pengarah Eksekutif Penang Institute

Ahli Parlimen Bukit Bendera