BUKIT TENGAH – Seramai 800 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini berada pada posisi bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan di negeri Pulau Pinang, susulan peralihan Monsun Barat Daya yang berada pada fasa akhir dengan hujan lebat serta ribut petir berlaku pada sebelah petang serta awal malam.
Pengarah JBPM Negeri Pulau Pinang, YS PKPjB Mohamad Shoki Hamzah memberitahu perkara itu dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, seusai Majlis Perasmian Video Hotel Guest FIRE Safety Awareness Program Peringkat JBPM Negeri di sini pada 29 September 2025.
“Sekarang ini, kita buat persediaan dari segi peralatan seperti bot, utiliti dan siri latihan kepada anggota bomba sekiranya berlaku banjir.
“Kita dalam keadaan bersiap siaga, dan kita juga mendapat bantuan yang amat padu daripada agensi-agensi lain, khususnya pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) sendiri,” jelasnya sambil menyatakan bahawa PDRM akan bertindak sebagai komander semasa situasi bencana peringkat daerah ataupun negeri nanti.
Di samping itu, Mohamad Shoki turut menasihatkan sekalian penduduk serta pelancong supaya berwaspada jika berkunjung ke kawasan rekreasi air awam serta pantai, menjelang peralihan Monsun Timur Laut yang bermula pertengahan November sehingga Mac 2026.
“Kita bernasib baik pada tahun 2024 kerana Pulau Pinang tidak mengalami banjir besar… (namun) kita berharap untuk tahun 2025 pun, kita masih lagi tidak mengalami banjir besar, jelasnya lagi.
Selain itu, beliau memberitahu bahawa JBPM setakat ini telah mengenal pasti kawasan hotspot banjir mengikut daerah, iaitu 41 di Timur Laut, Barat Daya (41), Seberang Perai Utara (66), Seberang Perai Tengah (88) dan Seberang Perai Selatan (20).
“Ini, hotspot yang kita kenal pasti dan untuk kita bagi tumpuan sekiranya berlaku semasa Monsun Timur Laut,” ujarnya.
Terdahulu, pada 20 September lepas, Penolong Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Prince Assad A. Kahar antara lain dilaporkan berkata bahawa Malaysia kini memasuki fasa peralihan monsun dengan Monsun Barat Daya berada pada fasa akhir dengan hujan lebat serta ribut petir berlaku pada sebelah petang dan awal malam.
Menurutnya, kejadian itu melibatkan Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung, barat dan tengah Sarawak serta barat Sabah, sementara Monsun Timur Laut pula dijangka bermula pada November dengan membawa hujan berterusan dan angin timuran dominan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye dan seorang pegawai PDRM lain turut sertai sidang media tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS