Ada kereta mewah, superbike tapi tinggal di PPR, LPNPP akan laksana pemutihan, tegas Exco

Admin
img 9973

 

GEORGE TOWN – Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) akan melaksanakan operasi pemutihan bagi memastikan hanya golongan benar-benar layak terus menghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN).

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ S. Sundarajoo berkata, kira-kira 30 peratus penghuni skim berkenaan dikenal pasti telah melepasi had kelayakan, khususnya dari segi pendapatan isi rumah.

Menurut beliau, ketika ini terdapat lebih 1,000 permohonan dalam senarai menunggu bagi rumah sewa, sekali gus memerlukan tindakan segera untuk mengoptimumkan penggunaan unit sedia ada.

“Melalui proses pemutihan ini, kita dapat mengosongkan unit yang dihuni oleh mereka yang tidak lagi layak dan seterusnya menawarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam sidang media semalam.

Sundarajoo turut menegaskan bahawa kelayakan menghuni PPR dan RSKN bukanlah hak sepanjang hayat, sebaliknya tertakluk kepada semakan berkala berdasarkan pendapatan isi rumah.

Jelas beliau, tempoh penyewaan lazimnya ditetapkan selama tiga tahun, dengan lanjutan maksimum sehingga enam tahun bagi memberi ruang kepada penghuni memperbaiki kedudukan ekonomi.

“Dalam tempoh tersebut, penghuni sepatutnya berusaha meningkatkan taraf hidup dan seterusnya memiliki kediaman sendiri melalui skim sewa beli atau pembelian rumah mampu milik, termasuk unit berharga sekitar RM42,000,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan bahawa terdapat kes penghuni yang menetap di PPR sehingga hampir 20 tahun, termasuk di PPR Taman Manggis, walaupun sudah tidak lagi memenuhi syarat kelayakan.

“Malah, ada isi rumah yang mempunyai lebih daripada seorang bekerja dengan pendapatan melebihi RM1,500.

“Apa yang lebih mengejutkan, terdapat unit yang telah diubah suai sehingga menyerupai kondominium, selain pemilikan kenderaan mewah dan superbike dalam kalangan penghuni,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar penghuni yang telah berkemampuan tampil secara bertanggungjawab memberi laluan kepada golongan yang lebih memerlukan.

“Saya berharap semua pihak dapat memainkan peranan sebagai warganegara yang prihatin dengan memberi peluang kepada mereka yang layak untuk menikmati kemudahan ini,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, LPNPP telah mula mengeluarkan notis kepada penghuni yang didapati tidak lagi memenuhi syarat kelayakan sebagai sebahagian daripada langkah pemutihan tersebut.