GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengemas kini garis panduan teknikal bangunan bertingkat dengan mewajibkan reka bentuk tahan gempa bumi bagi semua projek pembangunan baharu di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong langkah itu perlu susulan insiden gempa bumi yang berlaku di Myanmar dan Sumatera Utara baru-baru ini telah menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang turut merasai gegeran.
“Setakat ini hanya dua struktur bangunan di Pulau Pinang direka bentuk untuk menahan gempa bumi dari sejak 1980-an hingga kini iaitu Jambatan Pertama Pulau Pinang dan Menara Tun Abdul Razak (KOMTAR).
“Kedua-dua bangunan ini yang direka bentuk berdasarkan daya tahan pada kekuatan gempa bumi 7.0 skala Richter dan dalam 300km dari pusat gempa.
“Ini menunjukkan keupayaan teknikal dan perancangan struktur yang tahan gempa sememangnya wujud, maka adalah wajar teknologi dan keperluan ini diperluaskan kepada semua bangunan kediaman tinggi di negeri ini,” katanya.
Ah Teong berkata, ketiadaan data khusus mengenai bangunan yang direka bentuk untuk menahan gempa bumi oleh PBT, khasnya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) adalah sesuatu yang amat membimbangkan.
“Ini bermakna tidak ada keperluan undang-undang setakat ini untuk memastikan semua bangunan bertingkat dibina mengikut spesifikasi daya tahan gempa.
“Walhal, Bangkok yang telah mengalami bencana serupa merupakan Bandar Persahabatan MBPP dan kejadian yang berlaku di sana sepatutnya menjadi amaran jelas kepada kita.
“Isu ini telah pun dibangkitkan 14 tahun yang lalu dalam Mesyuarat Penggal Keempat, Dewan Negeri ke-12 pada tahun 2011, namun hingga kini belum ada perubahan ketara terhadap dasar, garis panduan atau perundangan berkaitan,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya penyesuaian terhadap Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) serta Rancangan Tempatan (RT) dibuat agar sesuai dengan keperluan semasa dan risiko bencana moden.
“Selain itu, MBPP dan agensi berkaitan disaran supaya melaksanakan penilaian semula struktur bagi bangunan sedia ada, khususnya yang melebihi 20 tingkat atau dibina sebelum tahun 2000.
“Kerajaan Negeri juga perlu memperkenalkan Skim Perlindungan Gempa Bumi seperti yang diamalkan di Taiwan yang mana perlindungan bencana gempa adalah sebahagian daripada polisi insurans kebakaran.
“Satu Dana Perlindungan Bencana Negeri Pulau Pinang boleh diwujudkan dengan kerjasama sektor insurans dan kewangan bagi merealisasikan cadangan ini,” katanya.
Ah Teong menegaskan bahawa semua pihak perlu melakukan tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan penduduk negeri sentiasa terjamin.
“Tragedi di Bangkok perlu menjadi “wake-up call” untuk kita semua memperkukuh dasar keselamatan struktur bangunan di negeri ini.
“Justeru, saya mohon agar cadangan ini diberi perhatian serius oleh Kerajaan Negeri dan dimasukkan dalam agenda dasar pembangunan negeri serta bajet akan datang demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat negeri ini,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR