BUKIT TENGAH – Satu laporan polis dibuat pada petang tadi terhadap seorang pemengaruh gara-gara menuduh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tidak memulangkan barang-barang yang disita sungguhpun peniaga berkenaan telahpun membayar kompaun berwajib.
Dalam sidang media di perkarangan hadapan Balai Polis Bukit Tengah, Ahli Majlis MBSP, Bernard Cheen Goon Hooi berkata bahawa pihaknya berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat melakukan siasatan ke atas pemilik akaun TikTok, “MADICYTHE” yang kian tular hatta memburukkan imej integriti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan belakangan ini.
“MBSP dituduh tidak memulangkan barang-barang yang disita secukupnya walaupun selepas peniaga menjelaskan kompaun berwajib.
“MBSP menjalankan tugas-tugas hakiki mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan sebarang aduan sepatutnya dibuat mengikut saluran yang betul untuk siasatan lanjut (daripada pihak MBSP sendiri),” tegasnya.
Di samping itu, beliau turut menegaskan bahawa MBSP tidak akan berkompromi sekiranya ada dalam kalangan anggotanya melakukan penyelewengan kuasa serta tidak mengikut SOP yang digariskan, semasa berurusan dengan pelanggan.
Beberapa Ahli Majlis MBSP lain, Datuk Mohd. Noor Ahmad, Zainuddin Mohamed, Muhammad Suzuki Ahmad, Ng Wai Leong dan Azman Rahim turut menyertai sidang media di sini tadi (25 Jun 2025).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS