Alam Aliran Kualiti perintis hasilkan bata daripada sisa loji rawatan air 

Admin
pix 2

ALAM Aliran Kualiti (M) Sdn. Bhd. bakal menjadi syarikat pertama di negara ini yang mengkomersialkan bata yang diperbuat daripada sisa loji rawatan air.

Alam Aliran Kualiti merupakan sebuah syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang, mempunyai kepakaran dalam pengurusan sisa terjadual serta rawatan air sisa dan telah beroperasi selama lebih 20 tahun.

Malah, syarikat tersebut juga bertanggungjawab untuk menyelia operasi harian Loji Penyahairan Sungai Dua (SDDP), kemudahan tercanggih yang direka bentuk untuk menguruskan sisa yang dijana di Loji Rawatan Air Sungai Dua (LRA Sungai Dua.

SDDP yang telah siap dibina baru-baru ini akan beroperasi menyah air, memproses dan membuang sisa dari LRA Sungai Dua, tanpa menjejaskan alam sekitar dan dengan kos efektif.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Dato’ K. Pathmanathan berkata, kemudahan yang dibina dengan kos RM20 juta itu akan beroperasi di bawah seliaan PBAPP dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

pix 1
G. Karthigayan.

Pengurus Projek Alam Aliran Kualiti Sdn. Bhd., G. Karthigayan menjelaskan bahawa syarikat tersebut menggunakan teknologi menggunakan pemerasan yang canggih (belt press) untuk mengekstrak air daripada enap cemar serta bahan-bahan yang lain.

“Perbezaan antara bata konvensional dan bata kami ialah dari segi komposisi bahan.

“Bata tradisional diperbuat daripada pasir, simen dan air, manakala bata kami pula menggantikan sebahagian daripada bahan tersebut dengan enap cemar yang diproses daripada LPA Sungai Dua,” jelasnya.

Beliau menekankan bahawa bata yang dihasilkan oleh Alam Aliran Kualiti disahkan selamat selain mempunyai ketahanan api yang tinggi, ketumpatan yang lebih tinggi dan struktur yang lebih kuat.

“Kami tidak sabar untuk mengkomersialkan produk inovatif ini di seluruh negara khusunya bagi kegunaan industri pembinaan,” katanya kepada Buletin Mutiara dalam sesi wawancara khas yang didakan dekat kilang Alam Aliran Kualiti di Taman Perindustrian Bukit Minyak baru-baru ini.

Turut hadir semasa sesi wawancara tersebut ialah Pengarah Alam Aliran Kualiti Sdn. Bhd., B. Pavetiran.

pix 3
Bata yang berjaya dihasilkan menggunaan sisa daripada loji rawatan air.

Mengulas lanjut, Karthigayan menjelaskan bahawa sisa dari loji rawatan air akan diproses terlebih di SDDP terlebih dahulu sebelum dihantar ke kilang di Taman Perindustrian Bukit Minyak untuk diproses menjadi bata.

“Kami melihat peluang besar untuk industri pembinaan dengan produk ini kerana ia lebih menjimatkan kos, tekstur yang lebih ringan dan mesra alam.

“Kami telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sejak beberapa tahun lalu sebelum memutuskan untuk memulakan usaha ini,” jelasnya lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa Alam Aliran Kualiti menjangkakan untuk menghasilkan sehingga 65,000 unit bata setiap hari.

“Ini menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha kami untuk menyokong penggunaan bahan binaan yang lebih mampan di negara ini,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD