Amaun bayaran penggal kedua 2025 berdasarkan kadar cukai taksiran baharu, respons Datuk Bandar MBSP

Admin
img 8863 SUASANA Mesyuarat Penuh Majlis (MPM) Ke-612 (Bil.6/2025) di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya di sini pada 25 Jun 2025.

SEBERANG JAYA – Kadar, peratusan kenaikan dan amaun cukai pintu yang patut dibayar sebagaimana dipaparkan dalam Bil Cukai Taksiran bagi penggal kedua tahun 2025, adalah berdasarkan pada cukai taksiran yang baru diselaraskan dan dikuatkuasakan sejak 1 Januari tahun ini.

img 8892
DATUK Bandar MBSP memberi penjelasan lanjut berhubung pelarasan cukai taksiran yang telahpun dikuatkuasakan, dalam sidang media berkaitan di sini menjelang tengah hari tadi.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid memberitahu perkara tersebut dalam sidang media berkaitan, seusai mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis (MPM) Ke-612 (Bil.6/2025) di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya di sini pada 25 Jun 2025.

“Bil Cukai Taksiran bagi penggal pertama tahun 2025 berdasarkan ‘kadar lama’, (sementara) Bil Cukai Taksiran bagi penggal kedua tahun 2025 adalah berdasarkan pelarasan cukai pintu yang telah dikuatkuasakan sejak awal tahun ini.

“Jadi, kalau penggal pertama seseorang diandaikan membayar separuh atau RM150 sebab RM300 amaun cukai taksiran tahunan, bagi penggal kedua pembayar berkenaan perlu membayar RM150 dan tambahan RM30 berdasarkan pelarasan cukai taksiran yang baru.

“(Dan), kalau seseorang telah membayar RM300 kadar setahun semasa penggal pertama tahun 2025 sebelum ini, bagi penggal kedua perlu membayar tambahan kadar pelarasan sebanyak RM30 sahaja,” jelasnya.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBSP, Sr. Mat Nasir Hassan berkata bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan dijangka dapat mengutip hasil cukai berjumlah kira-kira RM10 juta susulan pelarasan cukai taksiran yang dikuatkuasakan kelak.

Terdahulu, pada 25 September 2024, Baderul Amin memaklumkan bahawa PBT berkenaan akan menaikkan kadar cukai taksiran sehingga 5 peratus mengikut kategori bangunan.

Menurutnya, kenaikan itu adalah berdasarkan kadar cukai taksiran semasa, yang diguna pakai sejak tahun 2020.

Menurutnya lagi, penilaian semula kadar cukai taksiran dibuat memandangkan cukai sedia ada akan tamat pada 31 Disember 2024, selain faktor peningkatan kos pengurusan pentadbiran di ketiga-tiga daerah Seberang Perai.

Beliau menambah hanya 63 peratus atau 228,721 daripada keseluruhan 362,097 pegangan di Seberang Perai akan terlibat susulan pelarasan cukai taksiran tersebut, sementara baki 133,376 (37 peratus) lain kekal menikmati kadar cukai yang dikemas kini.

Menjelang tengah hari tadi, Baderul Amin dalam MPM memberitahu sekali lagi bahawa nilai tahunan, kadar peratus dan cukai taksiran baharu yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 telah dipaparkan dalam Bil Cukai Taksiran Setengah Tahun Kedua Tahun 2025, yang mana amaun ini telah disahkan dalam MPM MBSP Kali Ke-606 (Bil.12/2024) yang diadakan pada 20 Disember 2024.

“Untuk makluman semua pembayar cukai juga, Bil Cukai Taksiran Bagi Setengah Tahun Pertama Tahun 2025 yang telah dikeluarkan sekitar bulan November tahun 2024 masih memaparkan amaun nilai tahunan, kadar peratus dan cukai taksiran setahun yang sama – kadar lama – seperti Bil Cukai Taksiran Tahun 2024,” katanya sambil memohon semua pihak berkepentingan supaya membuat semakan lanjut.

Sebarang pertanyaan atau semakan lanjut boleh layari laman sesawang rasmi MBSP, https://esemak.mbsp.gov.my. atau diajukan menerusi panggilan telefon, 04-5497 493/494/495/464/468 atau melalui emel [email protected].

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR