SEBERANG PERAI – Komitmen berterusan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memperkukuh pendidikan alam sekitar dalam kalangan generasi muda terus dizahirkan menerusi pelancaran rasmi Anugerah Sekolah Hijau 2025, yang berlangsung penuh simbolik di Auditorium Menara Bandaraya, Seberang Perai Tengah, hari ini.
Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid, memasuki tahun ke-15, jalinan kerjasama strategik antara MBSP dan Continental Automotive Components (Malaysia) Sdn. Bhd., menjadikan agenda kelestarian sampai ke peringkat akar umbi.

“Sokongan pihak swasta seperti Continental sejak tahun 2010 menjadi pemangkin utama kepada kelangsungan program ini, yang secara konsisten mengangkat agenda kelestarian di peringkat akar umbi.
“Anugerah in diperkenalkan sebagai inisiatif untuk mendidik dan menyemai nilai kelestarian ini menyasarkan penyertaan sebanyak 85 buah sekolah pada tahun ini, merangkumi 50 sekolah rendah dan 35 sekolah menengah di seluruh Seberang Perai.
“Ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya yang mencerminkan komitmen semakin meluas warga sekolah terhadap pemeliharaan alam sekitar,” ujar beliau pada Anugerah Sekolah Hijau 2025 Peringkat Seberang Perai bertempat di Auditorium Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor; Ahli-ahli Majlis MBSP dan Pengarah Urusan Continental, Carlos Cano.

Mengulas lanjut Baderul Amin, memaklumkan sesi penilaian fizikal ke sekolah-sekolah terlibat akan dijalankan bermula 22 September hingga 9 Oktober 2025, diikuti dengan sesi pembentangan akhir bagi sekolah yang disenarai pendek.
Penilaian pertandingan akan dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi aspek kecekapan penggunaan sumber asli, inovasi dan kreativiti, kebersihan serta penghijauan selain keupayaan pembentangan sejajar dengan pendekatan holistik dalam membentuk budaya sekolah berteraskan kelestarian.
Carlos Cano dalam pada itu menzahirkan penghargaan terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan para guru, pelajar serta Pasukan Kerja LA21 MBSP dalam menjayakan penganjuran program itu lebih sedekad.
“Continental turut menyalurkan tajaan tahunan berjumlah RM27,900 sebagai tanda komitmen berterusan terhadap pembangunan pendidikan dan penjagaan alam sekitar.
“Kami berbangga kerana sebanyak 440 tan sisa telah berjaya dialihkan daripada tapak pelupusan dengan penganjuran anugerah ini.
“Anugerah Sekolah Hijau bukan sahaja satu bentuk pengiktirafan, malah menjadi medium pendidikan yang menyemai kesedaran dan menggalakkan amalan kelestarian dalam kalangan pelajar, khususnya dalam aspek kitar semula,” katanya.
Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD