Bahang PBIM 2025 kian dirasai, harap kukuhkan Pulau Pinang sebagai destinasi acara sukan serantau – Exco

Admin
398870e3 95ae 4ef1 813b fb1852e0a188 PULUHAN ribu peserta Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) 2024 membanjiri Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Pulau Pinang begitu meriah, antara yang sempat dirakamkan lensa penganjur pada edisi tahun lepas.

SUNGGUHPUN Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai Penang Bridge International Marathon (PBIM) 2025 dijadualkan pada 14 Disember depan, bahang penganjuran kian dirasai ketika ini.

451c1e36 b7c4 4b43 a204 850350e4ba2aPenganjuran PBIM pada hujung tahun ini dijangka lebih meriah dan bakal mencipta sejarah penganjuran tersendiri berbanding tahun lepas yang menyaksikan penyertaan lebih 22,000 orang dari 64 negara.

Semestinya, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang menghubungkan bahagian pulau ke Batu Kawan di Seberang Perai akan dibanjiri para peserta acara larian, juga sekalian pemegang taruh.

Buletin Mutiara sejak pagi tadi berusaha menjejak kelibat orang penting di sebalik penganjuran PBIM 2025, bagi menyorot persiapan acara berprestij tersebut.

img 8750
WONG Hon Wai menyampaikan ucapan alu-aluan semasa edisi 2024 PBIM di Batu Kawan pada 15 Disember tahun lepas.

Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, WONG HON WAI, salah satu kelainan dalam siri penganjuran pada kali ini adalah memperkenalkan siri “Road to PIBM 2025”.

“Persiapan untuk PBIM 2025 sedang dijalankan dengan lebih teliti dan berfokus.

“Road To PBIM 2025 (adalah) satu rangkaian larian pemanas badan yang diadakan sepanjang tahun untuk membantu pelari membuat persediaan dari segi stamina dan mentaliti.

“(Siri acara pemanas badan) ini bukan sahaja memberi ruang latihan kepada peserta, tetapi juga membina keterujaan menjelang acara utama pada bulan Disember.

“Pada tahun ini, keutamaan diberikan kepada penambahbaikan keseluruhan pengalaman peserta, termasuk aspek keselamatan, pengurusan trafik pelari, dan keselesaan di tapak acara.

“Antara inisiatif utama adalah laluan yang lebih tersusun untuk mengelakkan kesesakan serta penambahan kawasan rehat yang lebih luas dan terancang,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di George Town pada 17 Jun 2025.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong itu turut memberitahu bahawa lokasi PBIM 2025 kekal di Jambatan Kedua supaya acara larian atas jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu akan memberi suatu pengalaman yang unik dan sangat dinantikan oleh pelari dari dalam dan luar negara.

Bercerita lanjut, Hon Wai memberitahu bahawa Aspen, Klippa dan IKEA Batu Kawan merupakan antara rakan strategik utama penganjuran PBIM 2025.

“Tahun ini juga menampilkan penglibatan lebih luas daripada sektor swasta melalui kerjasama yang belum pernah dilakukan sebelum ini, termasuk penyertaan penaja seperti Tesla, Counterpain, Seiko dan Brooks.

“Senarai penaja akan terus dikemas kini menjelang tarikh acara. Kerjasama korporat yang kukuh ini membuktikan jenama PBIM semakin mendapat pengiktirafan sebagai antara acara larian paling berprestij di Malaysia,” jelasnya lagi.

img 8751
ANTARA gambar yang dirakamkan lensa Buletin Mutiara semasa penganjuran PBIM 2024 pada awal pagi 15 Disember 2024.

Tambahnya lagi, penganjur PBIM 2025 ketika ini telahpun membuka ruang pendaftaran secara dalam talian, dengan membuat beberapa penambahbaikan pada sistem demi memastikan pengalaman pengguna dan peserta lebih lancar.

“Sambutan awal sangat menggalakkan, dan kami menjangkakan peningkatan jumlah peserta berbanding tahun lepas.

“Sekitar 9 peratus daripada peserta adalah pelari antarabangsa, manakala 25 peratus datang dari luar negeri Pulau Pinang, sekali gus memberi impak positif terhadap sektor pelancongan dan perhotelan di kawasan sekitarnya, terutamanya di Seberang Perai,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Hon Wai memaklumkan, peserta dan pengunjung PBIM 2025 juga berpeluang menyertai beberapa acara sampingan yang menarik nanti.

“Pelbagai elemen baharu diperkenalkan bagi memeriahkan lagi suasana tahun ini.

“Tapak acara akan menampilkan gerai permainan interaktif, reruai jualan eksklusif dan barangan edisi khas.

“Pelari juga akan menikmati suasana acara yang lebih tersusun, dengan kemudahan yang dinaik taraf.

“Antara ciri baharu buat pertama kalinya adalah “runner’s pen” di garisan permulaan, iaitu zon khas yang memudahkan penyusunan pelari mengikut kategori masa dan ‘pace’ masing-masing (yang mana ia) membantu mengelakkan kesesakan dan memberikan permulaan yang lebih lancar untuk semua peserta.

“Suasana tapak acara akan dimeriahkan lagi dengan persembahan pentas dan hiburan.

“Dari segi cabutan bertuah, hadiah utama tetap mengekalkan sebuah kereta, dan tahun ini ditambah dengan pelbagai hadiah menarik lain termasuk tiket penerbangan, kasut larian premium, ‘deadset’ edisi khas larian, barangan sukan serta aksesori elektronik,” jelasnya lagi.

Bagi Hon Wai, persiapan jitu PBIM 2025 bukan sahaja penting untuk melonjak imej Kerajaan Negeri hari ini, malah untuk semua pihak khususnya para pemegang taruh yang berada dalam sektor bukan kerajaan.

“Persediaan sedang dijalankan secara menyeluruh melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri dan sektor swasta, antaranya, termasuk peningkatan kapasiti pengangkutan awam, koordinasi trafik di sekitar lokasi acara, serta promosi kepada industri hotel, inap desa dan F&B (makanan dan minuman).

“Impaknya sangat ketara khususnya di kawasan Seberang Perai seperti Juru dan Batu Kawan yang mana hotel-hotel mula menerima tempahan lebih awal daripada pelari luar kawasan yang menjadikan PIBM sebagai sebahagian daripada ‘trip’ percutian pendek mereka.

“Acara ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi juga merangsang ekonomi setempat.

“Pada tahun lalu, lebih 34 peratus peserta terdiri daripada pelari luar negeri dan luar negara — satu angka signifikan untuk pergerakan pelancongan domestik dan antarabangsa,” ujarnya.

4ead4331 18a2 4fc1 8f7f a2f4eaeece0f
SUASANA pada awal pagi penganjuran PBIM 2024 di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Pulau Pinang.

Mengakhiri bicara, Hon Wai berharap edisi 2025 PBIM nanti akan menerima lebih ramai penyertaaan berbanding sebelumnya, serta memberi impak lebih luas dari segi sosioekonomi rakyat di Pulau Pinang.

“Bagi melancarkan pergerakan peserta, lebih daripada 30 buah bas Rapid Penang akan disediakan untuk mengangkut pelari dari kawasan pulau ke Batu Kawan, memperlihatkan tahap logistik dan penyelarasan yang semakin profesional.

“PBIM 2025 bukan sekadar acara larian, tetapi berfungsi sebagai platform strategik untuk memacu pertumbuhan dalam pelbagai sektor seperti perhotelan, F&B, inap desa, pengangkutan awam serta ekonomi kreatif.

“Ia (PBIM 2025) turut membantu memperkukuh jenama Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan sukan yang unggul di rantau ini,” katanya lagi.