Kalau saya tak tolong, siapa lagi nak tolong mereka?”
ITU kata-kata penuh kasih dan tekad seorang pejuang senyap haiwan jalanan, SHARIE CHEAH, 64, yang menjadikan sisa usia persaraannya sebagai medan perjuangan untuk menyelamatkan kucing-kucing terbiar daripada derita dan kematian di jalanan.
Bersara awal pada tahun 2015 selepas lebih tiga dekad berkhidmat di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), wanita berhati cekal ini kini mencurahkan masa, tenaga dan wang ringgit demi memberi peluang kedua buat ‘si bulus’ yang dilupakan masyarakat.
“Saya mula dengan dua ekor saja, tapi sekarang dah lebih sepuluh ekor duduk di rumah saya.
“Kalau campur yang saya beri makan setiap hari, lebih 30 ekor dan tidak termasuk yang datang dan pergi,” ujarnya ketika ditemui di kawasan perumahan Bukit Gelugor.
Baru-baru ini, Sharie Cheah berkesempatan berkongsi kisah pengorbanan dan pengalamannya sebagai penyelamat haiwan jalanan dalam satu sesi wawancara khas bersama wartawan Buletin Mutiara, M. DANESWARAN dan jurugambar, SIEW CHIA EN.

Titik permulaan
Segalanya bermula secara tidak dirancang. Suatu hari selepas persaraan, Sharie melihat seorang wanita menghalau ibu kucing dan anak-anaknya dari sebuah kedai makan menggunakan payung dan perbuatan kasar itu begitu menyentuh hatinya.
“Saya terus kutip anak-anak kucing itu dan letakkan dalam kotak sebelum mencari bantuan… saya tak boleh tengok saja,” katanya sambil mengimbas kembali detik awal penglibatannya dalam misi menyelamatkan kucing jalanan.
Sejak itu, beliau menjadikan penyelamatan, rawatan dan penjagaan kucing sebagai sebahagian daripada rutin hariannya.

Kereta jadi kafeteria bergerak
Setiap hari, Sharie akan memandu dua kali pada waktu pagi dan petang ke lokasi-lokasi tetap sekitar kawasan perumahan, tanah kosong dan tanah kerajaan semata-mata untuk memberi makan kucing jalanan.
Justeru, keretanya kini sudah menjadi seperti “kafeteria bergerak” yang lengkap dengan bekas makanan, air bersih dan tisu basah.
“Kalau mereka tengah makan, saya akan tunggu dulu.
“Selepas itu, saya kutip semula semua bekas dan bersihkan kawasan sekeliling,” ujarnya sambil tersenyum.
Namun menurut Sharie, memberi makan hanyalah sebahagian daripada tanggungjawab kerana apa lebih penting adalah usaha pengembirian atau spay & neuter bagi mengawal populasi kucing jalanan.
“Seekor kucing betina boleh beranak dua kali setahun, jadi kalau tak dikawal, dalam setahun boleh jadi berpuluh-puluh ekor… itu yang jadi masalah besar di tempat awam.

“Seekor pun dah telan kos RM180 ke RM250… kalau banyak, memang saya tak mampu nak tanggung seorang diri,” luahnya dengan perasaan jujur.
Walau bagaimanapun, beliau bersyukur kerana beberapa klinik veterinar yang tampil menawarkan harga kebajikan khas buat penyelamat bebas sepertinya.
Dalam pada itu, Sharie berkata antara detik paling menyakitkan ialah melihat kucing yang cedera teruk tetapi tidak mampu dibantu kerana kekangan kewangan.
“Pernah seekor kucing kena hempap kayu sehingga kepala kucing itu pecah tetapi kos rawatan mencecah hampir RM2,000 sehingga saya pinjam di sana sini untuk tujuan rawatan.
“Ada masanya, saya cuma mampu menangis bila tidak cukup duit.
“Selain penyakit, ancaman anjing liar juga membimbangkan kerana beberapa ekor kucing di kawasan ini mati dikejar dan dibaham ketika malam,” katanya dengan perasaan sedih.

Proses mengadopsi kucing
Dalam usaha mencari rumah angkat yang sesuai, Sharie mengambil pendekatan yang sangat berhati-hati.
Setiap permohonan perlu melalui proses temuduga yang teliti iaitu merangkumi maklumat peribadi, latar belakang keluarga, keadaan rumah, dan tahap kesediaan memikul tanggungjawab jangka panjang.
“Kita kena pastikan orang tu betul-betul ikhlas dan bukannya main ambil untuk suka-suka sahaja.
“Saya juga akan bertanya sama ada terdapat bayi di rumah kerana bimbang berlaku alahan kepada bayi tersebut.
“Pernah terjadi, orang pulangkan semula kucing sebab bayi tak tahan dengan bulu…. kesian kucing, boleh jadi trauma,” jelasnya.
Lebih mengejutkan, menurut Sharie, ada juga kes kucing diambil untuk dijadikan makanan ular peliharaan.
“Sejak itu, saya hanya mengehadkan satu ekor sahaja untuk setiap keluarga,” ujarnya.

Harapan
Dalam keletihan dan kekangan kewangan, Sharie tetap teguh dengan pendiriannya untuk memastikan setiap kucing jalanan berhak hidup dengan selamat dan bermaruah.
Sebagai penutup, Sharie menitipkan pesanan penuh tegas kepada mereka yang berhasrat untuk membela haiwan peliharaan.
“Kucing ini bukan mainan untuk kamu atau anak-anak kamu.
“Kalau kamu tidak bersedia hendak jaga, vaksin dan beri makan, lebih baik jangan bela walaupun seekor,” katanya menutup bicara.