GEORGE TOWN – Pembayaran bonus sebanyak enam bulan gaji kepada kakitangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dibuat berdasarkan prestasi cemerlang agensi negeri itu sepanjang tahun 2024.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan perkara itu dalam Sesi Ucapan Penggulungan Exco sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini sebentar tadi.
“Bersadarkan Balance Score Card (BSC) yang telah merekodkan pencapaian cemerlang kakitangan PDC sepanjang tahun 2024 iaitu melebihi sasaran ditetapkan sebanyak 85 peratus.
“Hanya 25 peratus daripada kakitangan PDC atau 91 orang sahaja yang telah menerima bayaran bonus pada tahun lepas.
“Pemberian bonus sebanyak enam bulan gaji ini diberikan kepada kakitangan daripada pelbagai gred jawatan iaitu pengurusan tertinggi seramai dua orang, pengurusan dan profesional (43) serta pegawai pelaksana (46),” katanya.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa pencapaian prestasi keuntungan sebelum cukai dan zakat yang telah direkodkan PDC pada tahun 2024 adalah meningkat kepada RM527.1 juta berbanding RM276.6 juta pada tahun 2023.
“Jumlah ini adalah yang paling tinggi dengan peningkatan sebanyak 91 peratus.
“Namun begitu, bayaran bonus ini hanyalah sekitar RM6.8 juta atau 1.3 peratus sahaja daripada jumlah keuntungan tersebut,” jelanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Kon Yeow berkata, pemberian bonus tersebut juga adalah berdasarkan pencapaian prestasi sebenar keseluruhan bajet PDC yang cemerlang iaitu 104 peratus (hasil) dan 96 peratus (belanja).
“Selain itu, penjimatan faedah daripada bayaran awal prepayment pinjaman berjangka berjumlah RM8.6 juta serta pelaksanaan program pelaburan strategik (berimpak tinggi) telah melayakkan kakitangan PDC menerima ganjaran masing-masing,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF