GEORGE TOWN – Orang ramai diseru agar sentiasa berwaspada susulan keadaan cuaca panas yang melanda Pulau Pinang sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, suhu pada hari ini juga didapati agak tinggi dan boleh memberi kesan kepada kesihatan sekiranya langkah pencegahan tidak diambil.
Menurut beliau, orang awam digalakkan untuk memperbanyakkan pengambilan air kosong bagi mengelakkan dehidrasi, selain memakai pakaian berwarna cerah yang tidak menyerap haba.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar sekiranya tidak perlu, terutama ketika cuaca panas terik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pagi tadi.

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa setakat ini tiada kes berkaitan strok haba dilaporkan di negeri ini.
“Berdasarkan semakan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, tiada kes yang dikenal pasti akibat cuaca panas setakat ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
Dalam pada itu, beliau tetap mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah situasi cuaca semasa dan terus mengamalkan langkah berjaga-jaga demi kesihatan dan kesejahteraan bersama.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan bahawa terdapat lima kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 2 (gelombang haba) setakat jam 4 petang tadi.

Kawasan terlibat merangkumi negeri Perlis serta Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Sik di Kedah.
“Terdapat 16 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga) iaitu Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu (Kedah); Timur Laut dan Utara (Pulau Pinang), Hulu Perak, Selama, Kinta, Kuala Kangsar dan Perak Tengah (Perak), Jerantut (Pahang) serta Segamat (Johor).
“Bagi tahap gelombang haba, suhu maksimum harian pula melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut
“Tahap berjaga-jaga pula mencatatkan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS