Cukai tanah naik, Kon Yeow respons pertikaian kes dikemukakan

af06c23c 337f 4d94 b464 48df071095b1 KETUA Menteri (kanan) berkata Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang di bawah Pengarahnya, Faizal Kamarudin tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan berhubung kadar cukai tanah 2026, semasa sidang media di Komtar sebentar tadi.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang tampil memberikan perincian lanjut berhujung beberapa kes kenaikan kadar cukai tanah susulan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pada Sabtu lepas.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa hasil semakan lanjut PTG Pulau Pinang mendapati terdapat rumah kampung dan struktur binaan gudang kayu di atas tanah
seluas 10479.5445 meter persegi milik Encik Mustafa di Kampung Sekolah.

“Dia hanya cakap: dulu (1994) saya bayar serendah RM12, tapi sekarang kena bayar setinggi RM34,118.

“Jika kalian dengar balik video sidang media dia (Guan Eng), dia tidak sebut sebab apa kadar cukai tanah 2026 itu ditentukan.

“Di atas sebahagian tanah itu terdapat gudang kayu, jadi bagi kes ini Encik Mustafa sebenarnya boleh membuat rayuan (pengurangan kadar cukai),” jelasnya pada sidang media di sini pada 16 Mac 2026.

Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Dato’ Dr. Faizal Kamarudin turut sertai sidang media tersebut.

Berhubung kenaikan kadar cukai tanah milik Encik Sing Kheng Seng di Juru dari RM4 ke RM8,991 pula, Kon Yeow menjelaskan bahawa di atas tanah seluas 0.3211 hektar itu turut digunakan sebagai premis perniagaan berkaitan tapak tempat letak lori serta terdapat struktur bangunan untuk tujuan meletak lori.

“Kalau kalian lihat sendiri gambar, itu kawasan perniagaan, siap ada bangunan lagi di atas tanah itu,” ujarnya.

Bagi kes kedua berkaitan tanah berkeluasan 1262.6191 meter persegi milik Encik Sing Kheng Seng pula, Kon Yeow memberitahu bahawa PTG negeri mendapati terdapat satu struktur kabin serta mengenakan kadar cukai baharu sebanyak RM632 berbanding RM12 sebelum ini.

“Sekali lagi, dia tak cakap struktur (perniagaan) apa sebenarnya ada di atas tanah itu.

“Di atas tanah itu bukan sahaja terdapat struktur perniagaan, malah siap ada (papan tanda perniagaan),” katanya.

Selain itu, Kon Yeow turut memperincikan sebab kadar cukai tanah milik Encik Tan Peng Kuan seluas 0.6704 hektar di Ladang Valdor, dari RM20 dinaikkan ke RM21,788.

“Tanah ini juga digunakan (sebagai premis perniagaan), kalian boleh lihat daripada gambar (yang dibekalkan oleh pihak PTG); terdapat (tapak aktiviti) menjual dan membeli kenderaan terpakai serta gudang barangan

“Mengapa terdapat komponen komersial dan tidak hanya struktur jenis kediaman, maka ia menjadi sulit untuk tanah itu kekal diklasifikasi sebagai tanah desa untuk kegunaan kediaman samata-mata atau sebaliknya,” jelasnya lagi sambil memberitahu bahawa PTG sedang mengemas kini dan akan membetulkan kadar susulan ada permohonan daripada tuan tanah berkenaan.

c6b7c826 99d7 4479 9815 031ca056e4edBerhubung kenaikan cukai dari RM745 ke RM489,775 yang dikenakan ke atas syarikat milik Cik Ooi di Simpang Ampat, menurut Kon Yeow, PTG negeri mendapati tanah seluas 15.07 hektar digunakan untuk 38 unit kilang sesebuah dua tingkat; 20 unit kedai pejabat berkembar dua tingkat; empat unit ruang pameran sesebuah dua tingkat dan tiga unit kedai pejabat sesebuah dua tingkat.

“Setakat ini, saiznya adalah di antara salah satu kes yang terbesar.

“Bayangkan sekali lagi, kalau kalian ada tanah seluas lebih 15 hektar, berapakah nilainya? (Dianggarkan kira-kira RM100 juta, bergantung pada lokasi (yang mana) kalau di George Town nilainya lebih tinggi,” ujarnya lagi.

b8d4013b eabd 4807 b6a2 77a7b60d73f4 b199391f 339a 44ca bb48 99c003251e75Di samping itu, Kon Yeow turut memperincikan kes kedua membabitkan Cik Ooi, iaitu merujuk pada tanah seluas 1.697 hektar dekat Jawi.

Menurut beliau, tanah ‘First Grade’ itu digunakan sebagai kawasan meletak lori kontena dan bengkel lori kontena berpagar serta sebagai jalan akses ke ‘batching planet’ dan kuari yang terletak di bahagian belakang lot-lot berhampiran.

“Dari RM63 cukai tanah, dinaikkan menjadi RM55,153 kerana tanah itu didapati untuk kegunaan industri,” ulasnya sambil memberitahu bahawa kadar cukai tanah semasa dikemas kini kemudian dan menjadi RM47,516.

Sehubungan itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi sekali lagi menjelaskan bahawa kaedah pengiraan cukai tanah 2026 berdasarkan empat kriteria iaitu (1) kegunaan tanah; (2) keluasan tanah; (3) lokasi tanah sama ada bandar atau desa; dan (4) kadar cukai berdasarkan Kaedah-Kaedah Tanah Negeri Pulau Pinang yang diwartakan pada 11 September 2025.

“Jadi, segala proses rayuan yang dibuat, untuk berjaya, perlu berdasarkan empat faktor ini.

“Dan, formula pengiraan bagi menentukan kadar cukai semasa yang diguna pakai oleh PTG negeri pun, sebenarnya tidak ada apa-apa untuk disembunyikan serta semua pihak boleh akses kadar (cukai tanah yang diwartakan pada 11 September 2025),” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Ditanya lanjut, Kon Yeow berkata bahawa setakat ini PTG negeri menerima 2,165 rayuan, yang mana 1,665 daripada jumlah rayuan itu sedang diproses sementara rayuan telah selesai (532).

“Rayuan yang dah seusai itu maksudnya telah ada keputusan, ia tidak semestinya memihak kepada pemohon (yang merayu dikurangkan kadar cukai semasa),” jelasnya.

Berdasarkan rekod pendaftaran hakmilik di PTG, di negeri ini terdapat kira-kira 230,000 hak milik tanah sebelum Merdeka yang didaftarkan sebagai Geran dan Geran Mukim.

Selepas semalam cukai tanah 2026, Kerajaan Negeri menetapkan penentuan kadar cukai tanah bagi hakmilik sebelum Merdeka seperti hak milik ‘First Grade’ adalah berdasarkan kepada kegunaan semasa.

Pecahan kategori kegunaan tanah bagi tanah-tanah ‘First Grade’, Condition A, B, C dan Kategori/Syarat Nyata Tiada di Pulau Pinang meliputi 126,516 hakmilik/lot kediaman, perniagaan (28,015), pertanian (35,624), industri (3,499) dan rumah kampung (13,737).

Pada 11 Mac lepas, Kon Yeow mengumumkan Penambahbaikan Asas Rayuan Cukai Tanah 2026, selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkaitan meneliti maklum balas awam, representasi serta rayuan pusingan pertama.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN