PERMATANG BERANGAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyertai konvoi bermotosikal bagi menyantuni serta menyampaikan sumbangan bantuan kepada golongan memerlukan di sekitar kariah Masjid Jamek Padang Menora, Tasek Gelugor di sini petang tadi.
Program anjuran Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Komunikasi tersebut merupakan edisi keenam, dan yang terakhir bagi siri jelajah mendekati masyarakat lokal sempena sambutan bulan Ramadan tahun ini.
Turut menyertai konvoi tersebut ialah Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri; Penghulu Tertinggi Daerah SPU, Mohd. Yusof Hamid serta Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Padang Menora, Abdul Malik Ghazali.

Semasa berucap, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang menyertai aktiviti santai bersama-sama anak kariah, sebelum majlis berbuka puasa bermula.
“Saya berharap Pegawai Daerah SPU yang turut berada di sini dapat sentiasa mengambil tahu dan prihatin terhadap apa juga isu serta kebajikan rakyat di sini.
“Sebagai ketua pentadbiran dan pengerusi Majlis Tindakan Daerah, adalah penting untuk memastikan agensi-agensi terlibat memberikan perhatian sepenuhnya kepada keperluan setempat,” ujarnya dalam ucapan pada majlis berkaitan.
Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut menggesa agensi kerajaan agar lebih proaktif dalam menangani aduan rakyat.
“Mana-mana agensi berkaitan perlu mengambil langkah penyelesaian secara pantas dan berhemah apabila timbul sesuatu isu di peringkat akar umbi,” ujarnya lanjut.
Dalam majlis sama, Kon Yeow turut mengumumkan berita gembira buat masjid berkaitan dengan meluluskan peruntukan berjumlah RM50,000.
Pemberian tersebut bertujuan menangani masalah gangguan bekalan tenaga elektrik yang tidak mencukupi di Masjid Padang Menora sebagaimana dibangkitkan Abdul Malik sebelum ini.
Terdahulu, seramai 10 penerima terpilih menerima pek sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri menerusi sesi ziarah berkonvoi tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI