Di sebalik karakter sederhana sebagai ADUN, Lai Heng minat kumpul tabung

Admin
7b05e414 436b 4c43 a12c 3d43f3cafe8b

FIGURA bernama TEH LAI HENG selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar sememangnya sudah sinonim dalam arena politik Pulau Pinang.

 

Perjalanan politiknya bukan bermula secara drastik, sebaliknya melalui laluan sederhana yang konsisten.

c41abb88 3ac6 44df ad70 2919efb1148e

Selepas menamatkan pengajian di Kolej Tunku Abdul Rahman,  beliau memulakan kerjaya di syarikat juruaudit selama dua tahun dan memilih menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai wadah perjuangan politiknya.

Mula berminat menceburi arena politik sejak tahun 2001, Lai Heng mengakui bahawa beliau amat kagum dengan tokoh politik Tan Sri Lim Kit Siang.

“Perjalanan politik beliaulah yang mendorong saya memilih menyertai DAP sehingga kini,” katanya membuka bicara ketika ditemu bual wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR di Pusat Khidmat KADUN Komtar dekat Kompleks Taman Harapan, Jalan S.P. Chelliah pada 23 Julai 2025.

Sekitar tahun 2004 dan mula mendapat kepercayaan apabila dilantik sebagai Timbalan Ketua DAPSY bagi menggalakkan orang muda menyertai parti.

Perjalanan politik Lai Heng berkembang lagi apabila dilantik sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) antara tahun 2011 hingga 2013.

“Sebelum menjadi ADUN Komtar saya pernah bertanding pada tahun 2004 di KADUN sama, namun nasib tidak menyebelahi waktu itu.

“Tahun 2013, tuah mula menyebelahi saya dan berjaya memenangi kerusi KADUN Komtar sehingga kini,” ujarnya yang turut pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri dari tahun 2018 sehingga 2023.

88450bf7 1ad0 4e1f b802 5bd32112d226

Sejak itu, beliau terus mengorak langkah dan terus memacu pelbagai pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan tersebut.

Pembangunan ikonik dan sentuhan komuniti

Antara projek besar yang berjaya disumbang secara bersama oleh Lai Heng dan pihak berwajib sepanjang tempoh perkhidmatan sehingga ke saat ini adalah termasuk usaha menaik taraf Pasar Awam Chowrasta; pembangunan Kompleks Makanan Jalan Anson; projek perumahan The Rise S.P. Chelliah; projek tebatan banjir; dan mewujudkan taman poket serta pembaikan lorong belakang bagi menceriakan persekitaran kawasan warisan.

“Saya juga fokus pada inisiatif menaik taraf kawasan bangunan ikonik iaitu Komtar, termasuk Komtar Walk; kawasan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan ’meluruskan’ Lebuh Campbell untuk aliran trafik lebih baik.

“Terbaharu adalah sambungan projek transit aliran ringan (LRT) yang akan melalui KADUN Komtar, kerana kita tahu di sini terletaknya pusat bandar, jadi ia akan memberi nilai tambah terhadap KADUN Komtar pada masa depan,” ceritanya yang juga pernah dikenali dengan jolokan ‘YB EX5’ kerana menunggang motosikal jenis Honda EX5 ke mana-mana sahaja.

Misi pemodenan dan cabaran

Beliau akui bahawa projek moden seperti LRT bakal membawa manfaat besar dari segi mobiliti dan akses perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien, namun gangguan sementara terhadap trafik serta kebimbangan perpindahan penduduk asal kawasan warisan menjadi antara cabaran utama.

“Kita tak nafikan ada pro dan kontra apabila sesetengah penduduk asal berpindah keluar dan kita lihat banyak kedai lama ditukar menjadi kafe moden.

“Unsur baharu ada, tapi karakter asal kawasan mula pudar dan perkara ini bukan mudah untuk ditangani.

“Tambahan pula generasi muda ada yang sudah tidak berminat meneruskan perniagaan-perniagaan tradisi, ini antara cabaran dalam mengekalkan identiti George Town itu sendiri,” katanya lanjut.

 Komitmen bertemu rakyat dan tradisi turun padang

Semasa pandemik COVID-19 dan musim banjir, beliau tidak pernah teragak-agak turun padang memberi bantuan secara langsung.

“Saya juga mempunyai tradisi tersendiri dengan pengundi mengagihkan kalendar setiap tahun sebagai tanda hubungan berterusan dan bukan sekadar muncul semasa musim pilihan raya sahaja.

“Jadi itu (turun padang) antara salah satu cara saya mendekati pengundi selain dari penganjuran program-program yang dirangka dari semasa ke semasa.

“Saya percaya wakil rakyat kena konsisten kerana ramai pengundi saya yang juga tinggal di luar KADUN Komtar, jadi kes-kes macam ini kita akan pos (kalendar) sebagai tanda ingatan,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada pengundinya selama ini.

Minat peribadi

Di sebalik kerjaya politik yang sibuk, Lai Heng mempunyai hobi unik mengumpul tabung, baik dari dalam mahupun luar negara.

149fe81e 003f 4381 9730 0bec203bd89a

“Minat mengumpul tabung ini dikembangkan sejak dahulu lagi.

“Banyak koleksi dibeli secara dalam talian, atau diperoleh daripada individu yang berpindah rumah,” ceritanya.

Sehingga kini, beliau mempunyai puluhan koleksi tabung dan akan meneruskan minatnya untuk mendapatkan tabung dari dalam dan luar negara.

Menutup bicara, Lai Heng berharap pembangunan di sekitar KADUN Komtar dapat menjadikan kawasan pusat bandar Pulau Pinang itu kembali gemilang seperti dahulu.

Tambahnya lagi, ia bukan sekadar menjadi ikon fizikal, tetapi juga sebagai pusat komuniti yang ‘hidup’, berdaya saing dan berdaya tahan.