O l e h : WATAWA NATAF ZULKIFLI
JELUTONG – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menggesa individu atau penduduk yang masih dibelenggu masalah kontraktor ‘samseng’ supaya membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau datang sendiri berjumpa dengan beliau.
Kata Jagdeep, perkara tersebut dipandang serius pihaknya yang mana terdapat penduduk pernah diugut ala ‘samseng’ supaya menggunakan perkhidmatan kontraktor ditetapkan sekiranya ingin melakukan pengubahsuaian kediaman.
“Baru-baru ini, saya ada melakukan pertemuan dengan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi bagi membincangkan perkara ini.
“Hasilnya, beliau berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap laporan berkaitan yang diterima,” ujarnya selepas menyempurnakan MajlisPerasmian Pintu Pagar Automatik Persatuan Penyayang Warga Tua Pulau Pinang di Jalan Thomas di sini baru-baru ini.
Pintu pagar yang memberi kesenangan kepada penghunipenghuni rumah berkenaan adalah hasil sumbangan peribadi Jagdeep bernilai RM2,400.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim.
Menurut Jagdeep, beliau melahirkan sedikit kekesalan apabila setakat ini, hanya dua laporan polis dibuat penduduk terlibat berhubung hal demikian.
“Saya seru sekali lagi kepada penduduk terlibat supaya jangan takut untuk membuat laporan dan pihak Kerajaan Negeri tidak akan membiarkan perkara ini berleluasa.
“Sekiranya didapati bersalah, seseorang (kontraktor) terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan,” tegasnya.