BATU MAUNG – Bukit Sungai Ara yang terkenal sebagai ‘tempat lahir’ durian Tupai King menjadi tumpuan apabila 748 orang peserta menyertai acara Durian Fun Hike pagi tadi.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, acara tahunan itu bukan sahaja membudayakan gaya hidup sihat, malah mengetengahkan keistimewaan durian tempatan yang dihasilkan di Sungai Ara
“Durian Sungai Ara juga terbaik dan hebat, ini mungkin ramai yang belum tahu.
“Varieti Tupai King dihasilkan di sini, inilah yang menjadikannya begitu unik.
“Selain itu Sungai Ara juga mempunyai satu lagi varieti baharu, iaitu Tuhan Kasi, namun belum lagi didaftarkan secara rasmi,” ujarnya sebelum melepaskan para peserta Durian Fun Hike di sini hari ini.

Tambahnya lagi objektif acara tersebut juga bertujuan memperkenalkan Bukit Sungai Ara sebagai destinasi ekopelancongan durian yang berpotensi besar.
“Kita nak bawa lebih ramai rakyat dan pelancong datang menikmati keindahan Bukit Sungai Ara serta durian tempatan yang luar biasa.
“Para peserta bukan sahaja dari Pulau Pinang, tetapi juga dari Kedah, Perlis, Perak hingga ke Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain,” katanya.

Acara tersebut turut dimeriahkan dengan beberapa cabutan bertuah dengan hadiah utama adalah durian Tupai King 3.9 kilogram yang bernilai RM150 sekilogram untuk pemenang tempat pertama dan kedua selain semua peserta berpeluang merasai pelbagai jenis durian segar Bukit Sungai Ara.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR