Exco bidas kekeliruan pembangkang, tolak pembinaan projek asrama pekerja

Admin
img 20250521 wa0039

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah kerana membantah cadangan pembinaan projek Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) di negeri ini.

Mooi Lye berkata projek yang bakal menempatkan kira-kira 32,000 pekerja asing yang dirujuk oleh Mohamad Shukor adalah tidak relevan memandangkan ia sudah ditarik balik oleh pemaju pada Mei tahun lepas.

Kata ADUN Jawi itu lagi, wakil pembangkang berkenaan sepatutnya membuat ‘home work’ terlebih sebelum membangkitkan isu tersebut dalam persidangan Dewan.

“Pemaju telah membuat keputusan untuk membatalkan projek itu Mei tahun lepas dan perkara itu telah diumumkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang lalu.

“Saya tidak boleh nyatakan beliau hadir ke sidang DUN atau tidak tetapi maklumat mengenai projek itu telah dijelaskan dan boleh dijadikan rujukan sekiranya masih ada yang kurang jelas mengenainya,” katanya dalam Sesi Soalan Lisan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini sebentar tadi.

Dalam sesi soalan tambahan sebelum itu, Mohamad Shukor bertanya Pihak Berkuasa Negeri mengenai jumlah penduduk setempat yang bersetuju dengan projek CLQ dengan anggaran kapasiti 30,000 pekerja asing, serta mempersoalkan impak negatif projek tersebut.

Dalam reaksi spontan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menjelaskan bahawa Mohamad Shukor telah terkeliru apabila membangkitkan mengenai projek yang telah ditarik balik oleh pemaju sendiri.

img 20250521 wa0049
Ketua Menteri ketika memberi penjelasan mengenai kekeliruan ADUN pembangkang mengenai projek asrama pekerja.

“Sebenarnya pada peringkat awal, ada dua permohonan iaitu projek yang menempatkan 32,000 pekerja tetapi telah ditarik balik dan satu lagi projek memuatkan 7,000 pekerja yang diluluskan,” katanya.

Menyambut ucapan dalam sesi soalan lisan, Mooi Lye menegaskan bahawa semua projek pembinaan asrama pekerja telah melalui penilaian yang ketat oleh pihak berkuasa negeri termasuk melaksanakan laporan Penilaian Impak Sosial (SIA).

“Hanya selepas memenuhi semua kriteria sahaja boleh mendapatkan kelulusan kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri,” jelasnya.

Moo Lye turut mempertahankan keputusan Kerajaan Negeri meneruskan projek tersebut yang dijangka memberikan lebih banyak kebaikan berbanding keburukan kerana pekerja asing kini hidup secara berselerak di kawasan-kawasan perumahan di negeri ini.

“Keadaan ini cenderung menimbulkan masalah sosial dan kacau ganggu sebaliknya pembinaan CLQ akan membantu pihak berkuasa dalam menguruskan warga asing yang ada di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Mooi Lye turut mendedahkan bahawa pada masa ini terdapat sembilan projek asrama pekerja dalam proses pembinaan di negeri ini dan tujuh daripadanya telah mendapat kebenaran merancang.

Selain itu, ketika ini terdapat 279 unit bangunan di negeri ini diluluskan untuk dijadikan penginapan pekerja sementara (TLQ) yang kebanyakannya terletak di kawasan perumahan.

Di ksawasan Seberang Perai pula, sebanyak 714 unit bangunan telah mendapat permit TLQ yang terdiri daripada 571 unit komersial, manakala yang lain termasuk hotel (7), kilang (78) dan bangunan kediaman (58).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS