Exco jamin syarikat Anak Negeri serap ‘Wira Oren’ selepas MBSP terima pakai Akta 672

Admin
fa7f896b 970b 4da0 8798 2a523d3f89be JASON H’ng Mooi Lye (berbaju putih) menyantuni anggota Wira Oren MBSP yang menyertai majlis ramah mesra berkaitan di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi dekat Bagan Dalam di sini pada 5 Jun 2025.

BAGAN DALAM – Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa Wira Oren yang selama ini berkhidmat secara langsung di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan diserap dan terus berkhidmat melalui syarikat Anak Negeri Pulau Pinang, apabila Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) diterima pakai peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

8428bd81 2d06 41c1 a830 0bf4c5d259ac
JASON H’ng Mooi Lye

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata demikian dalam Majlis Mesra Bersama-sama Wira Oren MBSP di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi di sini pada 5 Jun 2025.

“Kerajaan Negeri akan terus memastikan kebajikan Wira Oren senantiasa dipelihara sekiranya Kerajaan Negeri menerima pakai Akta 672.

“Kerajaan Negeri juga telah menetapkan syarat bahawa pelaksanaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam menerusi Akta 672 di negeri Pulau Pinang hendaklah melalui syarikat Anak Negeri Pulau Pinang bagi membolehkan Wira Oren terus diberi peluang berkhidmat.

“Ini, jaminan kebajikan Wira Oren yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.

e02403fd c852 4521 8344 034ad35d7427
BADERUL Amin Abdul Hamid

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid yang berucap sebelum itu memberitahu bahawa dedikasi sekalian Wira Oren pada peringkat lapangan selama ini sedikit sebanyak turut menyumbang pada meningkatkan imej MBSP di mata warga Seberang Perai.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor dan Barisan Ahli Majlis yang lain.

Difahamkan, pada 8 Julai 2011, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah dikecualikan daripada penguatkuasaan Akta 672 yang bertujuan menswastakan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh negara.

Lanjutan keputusan tersebut, MBSP dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh Seberang Perai.

13579c23 8e23 4caf bae8 8df5e0a21e09
FADLY Ahmad

FADLY AHMAD, 45, yang telah berkhidmat selama 10 tahun sebagai Wira Oren berkata beliau sendiri secara peribadi sedikit bimbang dengan kedudukan kerjayanya, selepas ini.

“Walaupun ada jaminan untuk bekerja dengan syarikat Anak Negeri Pulau Pinang selepas ini, dengan usia saya sebegini, saya bimbang juga jika sekiranya iklim kerja tidak sebaik saya berkhidmat di bawah MBSP sekarang.

“Kerja, memang kena kerja, tidak ada banyak pilihan, bergantung pada diri masing-masing untuk tempoh lima tahun jaminan (untuk menyesuaikan diri) bekerja di bawah majikan baharu nanti,” ujarnya yang kini masih berkhidmat di Jabatan Perbandaran, Mampan dan Upcycle MBSP.

e4ac206f b0be 49b4 907f e8c2dcfbdb60
MUHD. Fatani Abd. Hamid

Berkhidmat selama tujuh tahun di Jabatan Perkhidmatan Pengurusan MBSP, MUHD FATANI ABD. HAMID, 36, berharap syarikat Anak Negeri Pulau Pinang ada cadangan memperbesar operasi perkhidmatan, di sebalik jaminan kerjaya yang ditawarkan kepada sekalian anggota Wira Oren kelak.

“Kalau nak memperbesar operasi perkhidmatan pembersihan dan perbandaran melalui syarikat Anak Negeri Pulau Pinang ini, saya rasa baik untuk MBSP ‘melepaskan’ Wira Oren yang selama ini bekerja di bawah PBT tersebut.

“Sejujurnya walaupun saya adalah kakitangan kontrak di bawah MBSP, saya yakin dengan jaminan untuk terus berkhidmat di sini… di tempat baharu nanti saya tidak pasti bagaimana,” respons beliau.

c5aecdb5 a6a0 4fc4 b574 4fbc1c692454
AHMAD Fadzil Hassim

Nada sama turut dikongsi oleh AHMAD FADZIL HASSIM, 36, kini merupakan anggota Wira Oren MBSP selama tujuh tahun.

“Dengar seakan nak melaksanakan dasar perswastaan kembali untuk kerja-kerja pembersihan di kawasan pentadbiran Seberang Perai.

“Cuma, pada tahap pertama ini dalam tempoh lima tahun mungkin Wira Oren MBSP diserapkan ke satu entiti syarikat berkaitan Kerajaan Negeri dahulu, sebelum dasar penswastaan sepenuhnya dilaksanakan nanti.

“Iklim kerjaya di tempat baharu nanti mungkin tidak sama lagi dengan iklim Wira Oren bekerja secara langsung di bawah MBSP (yang mana) mereka mungkin akan dipaksa berhenti jika tidak cepat menyesuaikan diri nanti.

“Saya sebagai pekerja kontrak tentu lebih risau selepas ini selepas tidak kerja secara langsung di bawah MBSP, kalau tak sambung kontrak ertinya kena cari kerja lain dalam usia saya nak masuk 40 tahun nanti,” jelasnya yang juga jurutera kontrak rumah pam di Jabatan Kejuruteraan MBSP.

360a27f0 ebcf 460d 9936 b3162d41578c
GAMBAR kenang-kenangan sekalian Wira Oren MBSP yang menyertai Sesi Ramah Mesra Bersama-sama Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye di sini menjelang tengah hari tadi.

Seorang lagi ‘Wira Oren’ yang mahu dikenali sebagai ‘Rahim’ menyatakan kebimbangan selepas ini Wira Oren yang direkrut dalam kalangan warganegara akan diganti dengan bukan warganegara disebabkan syarikat Anak Negeri Pulau Pinang juga menghadapi kekangan kewangan.

“Kalau MBPS hari ini tidak menghadapi kekangan kewangan, mungkin tidak timbul pun cadangan untuk MBSP menerima pakai Akta 672.

“MBSP merupakan satu-satunya PBT yang dikecualikan menguatkuasa Akta 672, ramai puji MBSP sebab sanggup ambil warganegara termasuk Melayu untuk bekerja, walaupun sebagai kakitangan kontrak.

“Selepas ini, paling bimbang kalau bukan warganegara pula akan menyarung baju ala ‘Wira Oren’, kalau syarikat Anak Negeri Pulau Pinang ini nanti turut ada kekangan kewangan untuk kekal mengambil warganegara sebagai pekerja kontrak pembersihan,” katanya.

Tambah beliau, dasar penswastaan kerja-kerja pembersihan di kebanyakan PBT di seluruh negara ketika ini rata-rata memang diisi oleh bukan warganegara sebab faktor upah buruh yang lebih murah berbanding jika direkrut warganegara.