GEORGE TOWN – Galeri Haji disifatkan sebagai sangat unik dan bernilai tinggi khususnya kepada negeri Pulau Pinang terutamanya bagi sektor pelancongan Muslim.
Jika dilihat daripada sejarah, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah, Prof. Madya Dato’ Dr. Sukki Othman berkata pengurusan ibadah ketika itu diurus oleh syeikh-syeikh haji yang begitu sistematik.
“Jadi saya nampak bahawa Galeri Haji ini satu khazanah yang sangat bernilai, yang perlu kita uar-uarkan lagi, untuk pengetahuan generasi sekarang.
“Mungkin juga kita boleh kerjasama dengan Islamic Tourism, ia boleh dijadikan sebagai salah satu agenda pelancongan Islam untuk melihat kepada khazanah-khazanah berkaitan dengan haji yang sangat sukar lagi ditemui,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke Galeri Haji di 87, Lebuh Aceh, di sini tengah hari tadi.

Turut hadir, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Mohamad Zamri Mohamed Shapik dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Dr. Mohamad Sofee Abdul Razak.
Justeru, Mohd. Sukki juga mengalu-alukan pihak luar untuk menjalankan kajian lebih lanjut dan mendalam berkenaan peranan lokasi tersebut yang pernah mendapat jolokan Little Jeddah satu ketika dahulu.
“Maka dengan itu banyak lagi sejarah peninggalan menarik yang kita boleh temui ketika mana kawasan ini menjadi lokasi jemaah haji sebelum berangkat ke kota Mekah melalui kapal laut,” katanya lagi.
Difahamkan, premis bernombor 87 itu sendiri merupakan kaunter penjualan tiket kapal laut untuk jemaah berangkat ke tanah suci.
Kawasan tersebut menerima gelaran Little Jeddah kerana para jemaah akan berkampung di kawasan tersebut dua ke tingga minggu sebelum menunaikan fardhu haji untuk mempelajari pelaksanaan rukun Islam kelima itu.