BAGAN JERMAL – Sambutan Hari Malaysia 2025 Peringkat Kebangsaan disambut meriah di sini pada 16 September 2025.
Kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Y.M. Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah menambah lagi makna dalam majlis sambutan pada malam ini.


Majlis berkaitan turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim serta isteri, YBhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Y.A.B. Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas mewakili Premier Sarawak; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir. Shahelmy Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah; Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Persekutuan dan juga barisan jemputan kehormat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam ucapannya berharap sambutan Hari Malaysia pada tanggal 16 September 1963 yang melibatkan Persekutuan Tanah Melayu serta dua wilayah iaitu Sabah dan Sarawak akan terus disatukan berdasarkan kemajuan dan pembangunan mampan.
“Hari Malaysia 1963 menyatukan semua negeri, Hari Malaysia 2025 menyatukan kemajuan dan pembangunan mampan.
“Kemajuan Malaysia adalah kejayaan setiap negeri, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Sebagaimana dua jambatan Pulau Pinang menghubungkan pulau dan tanah besar, demikianlah Malaysia menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam satu ikatan kukuh yang tidak mungkin terlerai,” jelasnya pada sambutan berkaitan di sini sebentar tadi.
Sehubungan itu, Kon Yeow berharap sempena sambutan penuh bermakna pada hari ini bukan sekadar memperingati sejarah, malah turut meneguhkan janji untuk terus melakar masa depan negara bangsa.

Di samping itu, beliau menyatakan bahawa Pulau Pinang pada hari ini sedang melangkah berani ke hadapan melalui beberapa projek mega seperti Silicon Island yang mana akan menjadikan Malaysia sebagai peneraju semikonduktor global.
“(Seiring gagasan Penang2030 iaitu Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara), Pelan Induk Pengangkutan (PTMP) membuka jalan kepada sistem pengangkutan yang bukan sahaja moden, malah lebih efisien dan mesra alam.
“Pendigitalan dan Penang International Financial Centre (PIFC) pula menjadikan negeri ini sebuah pusat inovasi, keusahawanan dan kewangan serantau berpaksikan rakyat, yang mana tiada yang bakal dipinggirkan ataupun terpinggir,” ujarnya lanjut.

Turut berucap, Ahmad Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

“Pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah merupakan lambang hasrat Kerajaan Madani untuk menjadikan sambutan kebangsaan lebih inklusif dan menyeluruh, merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Kita sendiri dapat melihat bagaimana Pulau Pinang menjadi contoh hidup perpaduan (yang mana negeri ini) membuktikan bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi turut menjadi satu amalan yang hidup subur,” ulasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu bahawa pada pagi tadi beliau pulang ke Malaysia, seusai menghadiri Sidang Darurat di Doha, Qatar yang mana perwakilan negara-negara umat Islam sekitar rantau Arab duduk dan berbincang mengenai kepentingan bersama termasuk di Palestin, dalam menghadapi negara Israel.
“(Susulan menyertai Sidang Darurat di Doha itu), apa yang saya dapat saksikan seluruh kekuatan dunia Islam dan dunia Arab sukar menyaingi kekuatan Israel yang didokong Amerika Syarikat.
“Apa pengajaran…. negara yang merdeka dan berdaulat mesti bersatu; mesti meleburkan kebencian dan prasangka antara kaum, agama serta antara (negeri) dan wilayah… demi kelangsungan negara yang berdaulat dan merdeka,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tambun, Perak.
Persembahan Selamat Datang ‘Rentak Tradisi Pulau Mutiara’; upacara menandatangani Buku Khas serta memotong kek dan upacara menaikkan Jalur Gemilang antara acara pentas sempena Sambutan Hari Malaysia 2025.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS