Hari Pengangkutan 1-3 Julai, buka ruang dialog rakyat – Exco

Admin
photo 2025 06 25 14 52 42

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama agensi-agensi teknikal, industri pengangkutan dan institusi akademik akan menganjurkan Hari Pengangkutan Pulau Pinang 2025 pada 1 hingga 3 Julai 2025.

 

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, majlis tersebut akan diadakan mulai jam 9 pagi hingga 4 petang  bertempat di Ruang Legar Tingkat 3, Komtar.

 

“Sambutan (Hari Pengangkutan) ini diadakan julung kali bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepentingan sistem pengangkutan mampan dan selamat, serta membuka ruang dialog terbuka mengenai cabaran dan masa depan mobiliti di Pulau Pinang.

 

“Antara pengisian utama sepanjang tiga hari itu termasuklah pameran bertemakan pengangkutan seperti bas, sistem pengangkutan pintar, infrastruktur hijau dan penyelesaian mobiliti masa hadapan.

 

“Kita juga akan mengadakan forum dan bicara pakar bersama wakil agensi penguat kuasa, Institut Penyerlidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pakar akademik Universiti Sains Malaysia (USM) serta wakil perunding, industri pembinaan dan rel,” ujarnya dalam satu sidang media di Komtar sebentar tadi.

 

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman dan Setiausaha Bahagian bagi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Kamarul Azlan Mustaffa.

 

Mengulas lanjut, Zairil memberitahu bahawa Hari Pengangkutan ini bukan sekadar sambutan, tetapi merupakan platform untuk mendengar suara rakyat, mempamerkan perkhidmatan pengangkutan dan menggerakkan budaya mobiliti hijau di negeri ini.

 

Dalam perkembangan lain, Zairil memaklumkan bahawa projek transit aliran ringan (LRT) berada pada fasa persiapan sebelum kerja-kerja berskala besar dilakukan.

 

“Apa yang kita dapat lihat sekarang terutamanya di Sungai Pinang adalah load test piling yang mana orang ramai dapat lihat banyak bongkah-bongkah konkrit dan ini masih pada peringkat awal.

 

“Peringkat awal termasuklah pembersihan tapak sebelum memasukan kerja-kerja skala besar yang akan melibatkan pengurusan trafik, ini dijangka bulan Ogos seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan sebelum ini,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga.

 

Tambahnya, dalam mengambil tanggungjawab bersama, Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan akan mewujudkan satu sistem penyampaian berkesan kepada rakyat melalui media sosial.

 

Difahamkan hanya satu saluran rasmi akan digunakan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan rakyat tentang kemas kini projek, pengurusan trafik dan lain-lain.

 

Bercakap mengenai projek kereta kabel Bukit Bendera pula, Zairil memaklumkan ia berada pada tahap 10.1 peratus.

 

“Tiang pertama dijangka dapat didirikan pada Julai nanti dan kita akan adakan satu majlis pelancaran, tunggu masa yang sesuai dengan masa Ketua Menteri,” katanya lagi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN