BATU UBAN – Indonesia muncul dalam senarai 10 negara penyumbang utama pelancongan antarabangsa terbesar ke Pulau Pinang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata berdasarkan data separuh pertama tahun 2025 (Januari hingga Jun), seramai 192,823 pelancong dari Indonesia tiba secara terus ke Pulau Pinang melalui penerbangan antarabangsa, meningkat dua peratus berbanding 188,905 orang dalam tempoh sama pada tahun lepas.
“Sekiranya pelancong yang transit melalui Kuala Lumpur atau masuk melalui jalan darat turut diambil kira, jumlah sebenar kedatangan pelancong dari Indonesia pastinya jauh lebih tinggi.
“Selain daripada pelancongan umum, Indonesia juga merupakan pasaran paling penting bagi sektor pelancongan kesihatan di Pulau Pinang.
“Menurut statistik dari Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (Malaysia Healthcare Travel Council, MHTC), sebanyak 65.8 peratus daripada jumlah pendapatan pelancongan kesihatan negara disumbangkan oleh pelawat dari Indonesia, menjadikannya penyumbang tertinggi dalam sektor ini.
“Malah, hampir 90 peratus daripada hasil pelancongan kesihatan di wilayah Utara Malaysia datangnya daripada warga Indonesia,” ujarnya pada Festival Budaya Nusantara anjuran Pertubuhan Masyarakat Indonesia Pulau Pinang (Permai Penang) di Kompleks Bukit Jambul, 9 Ogos lalu.
Turut hadir, Konsul Jenderal Indonesia di Pulau Pinang, Wanton Saragih dan Pengerusi Permai Penang, Eddy Virgo.
Mengulas mengenai Festival Pertubuhan Masyarakat Indonesia Pulau Pinang (Permai Penang), Hon Wai memberitahu bahawa ia bukan sekadar persembahan budaya, malah menjadi jambatan silaturahim antara dua bangsa yang telah lama berkongsi sejarah dan semangat nusantara.
“Justeru, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan aktiviti sebegini yang bukan sahaja mempererat hubungan dua negara jiran, malah memperkaya sektor pelancongan dan ekonomi kreatif secara menyeluruh.
“Sebagai bukti bahawa hubungan dua hala ini tidak hanya tertumpu kepada persamaan budaya, ia turut diperkukuh melalui jaringan mobiliti dan pelancongan yang kian rancak.
“Pada masa ini, Pulau Pinang dihubungkan secara terus dengan empat buah bandar utama di Indonesia iaitu Medan, Jakarta, Surabaya dan Banda Aceh.
“Secara keseluruhan, terdapat 56 penerbangan terus setiap minggu dengan Medan mencatat 31 penerbangan, Jakarta (18), Surabaya (3) dan Banda Aceh (4),” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI