Inisiatif baharu MBPP, pacu sektor kitar semula sisa makanan dan binaan  

photo 2026 03 25 11 23 38 (1)
MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini giat memperluas sektor kitar semula dalam pengurusan sisa pepejal, termasuk sisa makanan.

Melalui projek perintis yang dilaksanakan pada tahun 2026, MBPP menyasarkan tiga perayaan utama sebagai langkah permulaan untuk memperluas penggunaan mesin kitar semula dan pemprosesan kompos makanan, sekali gus mengurangkan beban di tapak pelupusan sampah.

photo 2026 03 25 11 24 49

Datuk Bandar MBPP, DATO’ IR. A. RAJENDRAN berkata, berdasarkan rekod semasa, kira-kira 47 peratus sisa buangan harian terdiri daripada sisa makanan.

 

Jelas beliau, melalui projek ini, sisa makanan diproses dan dibahagikan kepada tiga komponen utama, iaitu air larut resapan (leachate), minyak dan kompos.

 

“Kita menjalankan projek perintis sempena tiga sambutan utama iaitu bazar Ramadan di Bayan Baru, Thaipusam dan Miao Hui yang sememangnya menghasilkan jumlah sisa makanan yang tinggi.

 

“Sambutan daripada pengusaha makanan serta orang ramai juga amat menggalakkan.

photo 2026 03 25 11 23 33 photo 2026 03 25 11 23 38

“Usaha ini perlu dipercepat memandangkan Pulau Pinang menghasilkan kira-kira 800 tan sisa pepejal setiap hari.

 

“Daripada jumlah tersebut, sekitar 47 peratus atau kira-kira 376 tan sehari adalah sisa makanan yang dijana di bahagian pulau sahaja.

 

“Oleh itu, penggunaan teknologi serta pendekatan bersesuaian amat penting bagi mengurangkan penjanaan sisa makanan ini,” ujarnya ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI di pejabatnya baru-baru ini.

 

Tambah Rajendran lagi, hala tuju MBPP adalah untuk mengurangkan kos pengurusan sisa di samping meminimumkan impak terhadap alam sekitar.

 

Melalui kitar semula sisa makanan, katanya, secara langsung dapat mengurangkan pelepasan karbon serta pencemaran.

photo 2026 03 25 11 23 36

“Sisa makanan yang dibiarkan akan menghasilkan cecair larut resapan yang bersifat menghakis dan boleh menyebabkan kakisan.

 

“Sebagai statistik, semasa Thaipusam sebanyak 20 kilogram (kg) sisa dikumpulkan, Miao Hui (pada bulan Februari) sebanyak 108 kg, manakala bazar Ramadan Bayan Baru dari Februari hingga Mac baru-baru ini mencatatkan 280 kg.

 

“Dari segi penerimaan penjaja, mereka memberikan kerjasama yang baik. 

 

“Pada peringkat awal, mereka kurang pendedahan, namun selepas diberikan penerangan dan pendidikan, mereka mula menggunakan kemudahan yang disediakan sepenuhnya,” katanya lagi.

 

Menurut Rajendran, mesin kitar semula tersebut berfungsi memisahkan sisa kepada tiga komponen, iaitu air, minyak dan cebisan makanan yang telah diproses. 

 

“Cebisan ini boleh dijadikan kompos atau bahan api alternatif.

 

“Namun, penggunaan sebagai bahan api masih belum dilaksanakan berikutan jumlah penghasilan yang kecil, dan buat masa ini MBPP memberi tumpuan kepada penghasilan kompos.

 

“MBPP juga merancang untuk menempatkan mesin pemproses makanan ini di setiap pasar awam.

 

“Minyak masak terpakai akan diasingkan dan dihantar kepada syarikat seperti Petronas dan Arus Oil untuk diproses menjadi bahan api penerbangan (aviation fuel) atau biodiesel.

 

“Air yang terhasil pula adalah lebih jernih dan boleh disalurkan terus ke sistem pengairan sedia ada,” jelas beliau.

 

Pada masa ini, beliau memberitahu bahawa kadar kitar semula di bahagian pulau adalah sekitar 45 peratus daripada jumlah keseluruhan sisa yang dihasilkan, termasuk sisa kayu, sisa kebun serta sisa domestik dan industri.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Rajendran turut memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang menggerakkan usaha kitar semula sisa binaan yang dianggarkan mencecah 650 tan sehari di kawasan pulau.

 

“Bagi tujuan tersebut, MBPP sedang mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk pembinaan loji yang bersesuaian.

 

“Sisa binaan mempunyai nilai ekonomi kerana boleh dikitar semula untuk kegunaan seperti bahan hiasan dan pembinaan.

 

“Selain itu, MBPP turut bercadang memperkenal sistem ganjaran berasaskan mata kepada pihak yang mengamalkan kitar semula. 

 

“Mata yang dikumpul boleh ditebus dengan barangan keperluan harian,” katanya.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa sisa binaan yang dikitar semula boleh dimanfaatkan semula sebagai bahan pembinaan seperti jubin dan pembinaan jalan.

 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, RASHIDAH JALALUDIN yang turut serta dalam pertemuan tersebut, berkata bahawa penggunaan mesin tersebut juga mampu mengurangkan kehadiran haiwan dan serangga perosak di kawasan pembuangan sampah.

 

“Punca utama kehadiran perosak adalah daripada cecair sisa makanan itu sendiri.

 

“Kami juga telah perkenalkan mesin ini kepada penggiat industri makanan dan minuman di Queensbay Mall dan menerima maklum balas yang sangat positif.

 

“Dengan harga sekitar RM20,000 hingga RM30,000, mesin ini dianggap berpatutan serta tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi atau tenaga mahir.

 

“Pada masa sama, MBPP merancang untuk menempatkan mesin ini di pasar awam mengikut kesesuaian, sambil mendidik penjaja dan pengunjung,” katanya.