‘Jambatan Ilmu’ mampu putus rantaian kemiskinan – Ketua Menteri

8e3f01c0 9879 4e73 bcda 277ad2a2e571 KETUA Menteri menyampaikan sumbangan Ramadan kepada anak-anak tempatan yang menyertai Majlis Berbuka Puasa di perkarangan Masjid Jamek Al Marjan, Taman Manggis dekat sini pada 16 Mac 2026.

GEORGETOWN – Kerajaan Negeri hari ini tekad menjadikan pendidikan dan pendigitalan bilik darjah sebagai ‘jambatan ilmu’ utama dalam usaha memutuskan rantaian kemiskinan generasi pelapis negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa usaha pemantapan literasi digital di kawasan perumahan kos rendah seperti Program Residensi Rakyat (PRR) merupakan agenda berterusan bagi memastikan golongan muda tidak tercicir daripada arus kemodenan.

“Kita mahu jurang kemiskinan ini dirapatkan melalui ilmu pengetahuan.

“Justeru, pendigitalan bilik darjah akan terus diperkasakan agar anak-anak di PPR (Projek Perumahan Rakyat) mempunyai peluang masa depan yang lebih cerah,” ujarnya semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa di perkarangan Masjid Jamek Al Marjan, Taman Manggis dekat sini pada 16 Mac 2026.

Pengerusi Masjid Jamek Al-Marjan, Osman Mydin; Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Al-Marjan, Wahab Hamid dan Pengerusi jawatankuasa program berbuka puasa, Imam Mohamad Amraj Mustaffa turut sertai majlis tersebut.

Di samping itu, Kon Yeow menyatakan perasaan gembira apabila melihat transformasi fizikal yang sedang berlaku di PPR Taman Manggis, antaranya projek pemasangan pagar automatik bernilai lebih RM254,000 yang telah siap sepenuhnya.

“Inisiatif ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan penduduk,” ujarnya.

Menyentuh mengenai agenda perumahan, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyifatkan penyediaan kediaman berkualiti sebagai salah satu teras utama dalam membela nasib golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40).

Menurut beliau, setakat ini Kerajaan Negeri telah berjaya mencapai lebih 77 peratus daripada sasaran pembekalan unit Rumah Mampu Milik (RMM).

“Kita tidak akan berhenti di sini, sebaliknya, Kerajaan Negeri kini giat mengenal pasti lebih banyak tapak di daerah Timur Laut bagi memastikan akses perumahan berkualiti untuk golongan memerlukan terus diperluaskan,” ulasnya lanjut.

Selain agenda pendidikan dan perumahan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan iltizam politik untuk menjadikan aspek kebajikan rakyat kekal sebagai “denyut nadi” pentadbirannya.

“Melalui peruntukan RM50.93 juta bagi Program i-Sejahtera tahun ini, Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa tiada warga emas, ibu tunggal mahupun pelajar yang akan dipinggirkan daripada menerima bantuan sewajarnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut memuji peranan Masjid Jamek Al Marjan yang kini telah memperoleh tauliah solat Jumaat, sekali gus menjadi nadi penyatuan komuniti di Taman Manggis.

Sambil menyifatkan majlis iftar tersebut sebagai refleksi kecil kepada impian besar Malaysia Madani, beliau menyeru penduduk agar terus memupuk nilai kasih sayang dan ihsan.

“Teruskanlah sikap saling membantu dan jagalah keharmonian kawasan ini seolah-olah kita menjaga rumah sendiri.

“Semoga ukhuwah yang terjalin pada petang ini membawa keberkatan dan ketenangan buat kita semua,” katanya sebelum mengakhiri ucapan dengan ucapan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh rakan Muslim.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN