Jawatankuasa siasatan khas Bukit Kukus diharap mula secepat mungkin – Kon Yeow

Admin
首长在记者会上宣布成立特别调查委员会。

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melahirkan harapan agar jawatankuasa siasatan khas yang ditubuhkan ekoran kejadian runtuhan lereng jalan berkembar Bukit Kukus di Paya Terubong pada 19 Oktober lalu dapat bermula secepat mungkin.

“Diharap, minggu hadapan, pengerusinya (jawatankuasa siasatan khas) dapat menetapkan masa diperlukan untuk menyiasat, dan juga tetapkan tarikh bermesyuarat supaya tugas ini dapat disempurnakan dalam jangka masa terdekat.

“Ini kerana, semua pihak pun ingin tahu apakah sebenarnya punca yang menyebabkan berlakunya kejadian tersebut,” ujarnya ketika diajukan soalan oleh pihak media berhubung perkembangan berkaitan baru-baru ini.

Kon Yeow berkata demikian sejurus merasmikan Majlis Ceramah Motivasi dan Penyampaian Sijil Pecutan Akhir SPM dekat bangunan Liga Muslim, Lebuh Queen di sini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong menyatakan bahawa jumlah denda RM35,000 terhadap pihak kontraktor utama kawasan pembinaan Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah dalam kejadian 21 Oktober 2017 adalah diputuskan dan ditentukan pihak mahkamah.

“Di dalam kes ini, mahkamah yang mendapati syarikat kontraktor berkenaan perlu didenda kerana tidak mengikuti peraturan,” responsnya ketika diutarakan soalan berkaitan oleh pihak media lanjutan dakwaan badan bukan kerajaan (NGO) bahawa jumlah dikenakan adalah tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Terdahulu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang menerusi satu kenyataan medianya pada 24 Oktober 2018 menyatakan bahawa syarikat berkenaan dikenakan denda RM35,000 oleh Mahkamah Seksyen 2 Georgetown setelah didapati bersalah.

Mengulas lanjut berhubung perkembangan terkini hasil siasatan tragedi berkenaan, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu, berdasarkan maklumat terkini diterima pihaknya, semua sesi pendengaran daripada saksi-saksi dan pihak yang memberikan keterangan teknikal telah selesai.

“Itu (keterangan) sudah siap, cuma jawatankuasa (siasatan) sekarang dalam rangka laporan.

“Dan… mengikut masa yang dilanjutkan ianya adalah hingga April tahun hadapan. Jadi, kita (Kerajaan Negeri) berharap lanjutan ini adalah kali yang terakhir sebab sudah mengambil masa terlalu panjang,” jelasnya.