Kenaikan diesel beri kesan pada kontraktor perkhidmatan angkut sampah di Pulau Pinang – Ketua Menteri

Admin
img 20260327 wa0145

BAYAN LEPAS: Kenaikan diesel di seluruh negara turut memberi kesan kepada kontraktor perkhidmatan mengangkut sampah di Pulau Pinang.

 

Malah, tambah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, rutin perkhidmatan tersebut perlu terus dilaksanakan setiap hari bagi mengelakkan berlakunya lambakan sampah atau sisa pepejal yang tidak dikutip.

 

Katanya, dalam mesyuarat pengurusan sisa pepejal semalam, beliau melihat trak mengangkut sampah perlu meneruskan penggunaan diesel dalam meneruskan perkhidmatan mereka.

 

Bagi kontraktor (perkhidmatan mengangkut sampah), ada pihak yang dibenarkan membeli diesel subsidi dan ada yang tidak boleh menggunakan diesel subsidi serta perlu menggunakan diesel industri.

 

“Dengan lonjakan harga ini, ia akan menjejaskan (penugasan) kontraktor kami dari segi kos, dan kita baharu baca laporan berhubung pengendali feri Langkawi yang perlu mengurangkan perjalanan mereka disebabkan kenaikan diesel.

 

“Namun, perkara yang sama tidak boleh dilakukan pada perkhidmatan mengangkut sampah ini seperti mengurangkan perjalanan (trak mengangkut sampah), dan ia perlu diangkut setiap hari mengikut jadual,” ujarnya.

 

Kon Yeow berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Gen.AI Chatbot (ChatMBPP) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini sebentar tadi.

 

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar; Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Setiausaha Bandaraya MBPP, Cheong Chee Hong dan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad, Datuk Azman Ismail.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa situasi yang berlaku ini tidak hanya memberi kesan kepada sektor swasta, sebaliknya sektor kerajaan turut berdepan kemelut sama.

 

Dalam hal ini, terdapat kos yang mungkin perlu ditanggung oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebab memang ada klausa atau ‘directive‘ yang membolehkan kontraktor ini menuntut peningkatan harga tersebut daripada pihak yang memberikan kontrak seperti PBT.

 

“Malah, situasi tidak hanya membawa kesan kepada sektor swasta sahaja tetapi sektor kerajaan juga berdepan situasi yang sama,” jelasnya.

 

Difahamkan, konflik yang semakin meruncing antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran serta ancaman terhadap perkapalan melalui Selat Hormuz yang meningkatkan kebimbangan gangguan bekalan dari rantau pengeluar utama Asia Barat.

 

Dalam pada itu, kemelut yang berlaku turut menyebabkan harga petrol dan diesel di rantau ini termasuk Semenanjung Malaysia turut mengalami kenaikan mendadak.

 

 

Oleh : AIZAT SHARIF
Gambar : LAW SUUN TING