GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri telah meluluskan cadangan kerja-kerja pemulihan Tapak Pelupusan Sampah Jelutong (TPSJ) dan pelan tambakan laut seluas 70 ekar.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye, kelulusan ini diberikan selepas mengambil kira keadaan struktur TPSJ yang tidak selamat kerana ia merupakan bekas tapak pembuangan sampah secara terbuka.
“Merujuk isu pewartaan Middle Bank pula, Kerajaan Negeri tiada halangan untuk mewartakan semula Middle Bank sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) apabila projek pembangunan di sekitar kawasan tersebut telah selesai dilaksanakan.
“Sekiranya projek ini dibatalkan, ia akan memberi imej negatif kepada Kerajaan Negeri dan berkemungkinan akan kehilangan peluang untuk menjana pendapatan melalui pembangunan semula kawasan tersebut, termasuk potensi pembangunan komersial dan perumahan serta hal kebajikan nelayan,” ujar Mooi Lye ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk ketika menggulung perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mooi Lye yang juga ADUN Jawi memberitahu, sekiranya PLB Engineering Berhad (pemaju) gagal mendapatkan kelulusan EIA (kajian kesan alam sekitar) sebelum atau pada 28 Februari 2026, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berhak untuk tidak meneruskan perjanjian tersebut.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS