Kerajaan Negeri Pulau Pinang terima 15 kenderaan rasmi baharu

Admin
img 20250520 wa0016

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperoleh 15 buah kenderaan baharu jenis Toyota Camry 2.5V (AT) (CBU) bernilai RM3,311,895 bagi menggantikan kereta rasmi yang dibeli pada tahun 2020.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa jumlah tersebut adalah termasuk kenaan cukai dan duti eksais.

img 20250520 wa0021
Kenderaan rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baharu.

“Kenderaan baharu ini adalah untuk kegunaan rasmi seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang dan tiga ahli ex-officio (Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri).

“Dua lagi kenderaan adalah masing-masing untuk kegunaan rasmi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dekat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

Beliau memberitahu perkara itu sebagai menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng dan ADUN Penaga, Yusni Mat Piah.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : DARWINA MOHD. DAUD