BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri menyerahkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mengendalikan urusan berkaitan, susulan kes perundangan yang membabitkan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek Jalan Berkembar Bukit Kukus.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa setakat ini, Kerajaan Negeri mengambil maklum mengenai perkembangan kes tersebut serta tidak berhasrat untuk menghalang kelancaran projek infrastruktur yang melibatkan kepentingan awam di Pulau Pinang.
“Buat masa ini, kita akan membiarkan Pihak Berkuasa Tempatan (iaitu MBPP) untuk mengendalikan urusan tersebut terlebih dahulu.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, selagi kerja-kerja pembinaan diteruskan, kita tidak menghalang pihak pemaju (bukan kerajaan) untuk melaksanakannya kerana projek ini adalah untuk kegunaan dan manfaat orang ramai,” jelasnya kepada pemberita seusai berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Dan Kempen Keselamatan & Kesedaran Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang di sini pada 4 April 2026.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye yang hadir sama dalam sidang media sama antara lain turut memberitahu bahawa pelaksanaan projek tersebut diteruskan serta tidak terjejas dek prosiding mahkamah.
“Projek tersebut terbahagi kepada tiga bahagian, yang mana (salah satu fasa) di bawah seliaan MBPP telah siap; manakala baki dua fasa lagi sedang dalam pelaksanaan dan masih berjalan seperti biasa.
“(Prosiding mahkamah itu) tidak menjejaskan pelaksanaan projek,” responsnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeir (ADUN) Jawi.
Pada Jumaat lepas, dilaporkan, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, 59, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kiala Lumpur, atas satu pertuduhan menerima rasuah RM100,000 berhubung penyediaan EIA bagi cadangan membina jalan berkembar Bukit Kukus, Pulau Pinang tahun lalu.
Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : DARWINA MOHD. DAUD