Kerajaan Negeri suntik dana RM360,000, perkasakan 36 Pasukan Bomba Sukarela

Admin
283a1644 2305 46f6 ba42 81045e0dd0a9 KETUA Menteri (depan, dua dari kanan) meluangkan masa dengan menyertai pameran aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta menyantuni para anggota JPBM dan Persatuan Bomba Sukarela (PBS) di sini sebentar tadi.

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri menzahirkan penghargaan buat ‘wira tidak didendang’ dengan mengumumkan peruntukan dana sokongan berjumlah RM10,000 kepada setiap 36 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di seluruh negeri.

94efded1 9561 4d2c b8cc 753a374bd724
KETUA Menteri

Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, ketika merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen PBS serta Kempen Keselamatan dan Kesedaran Awam peringkat negeri yang berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada 4 April 2026.

Dalam ucapannya, Kon Yeow menegaskan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan PBS merupakan satu entiti yang tidak boleh dipisahkan dalam memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjaga.

“Walaupun struktur organisasi mungkin berbeza, misi dan nilai yang dibawa adalah serupa, iaitu melindungi nyawa serta harta benda.

“Apabila kepakaran profesional JBPM digabungkan dengan kekuatan akar umbi PBS, kita membina benteng keselamatan yang lebih kukuh dan pantas,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Menurut beliau, penglibatan PBS adalah kritikal kerana kedudukan mereka yang lebih dekat dengan komuniti, sekali gus membolehkan tindak balas awal diambil sebelum bantuan daripada balai bomba bantuan tiba.

“Suntikan dana ini diharap dapat membantu meningkatkan kecekapan operasi serta penyelenggaraan peralatan bagi setiap pasukan yang terlibat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye yang juga ADUN Jawi dan Ketua Pengarah JBPM, Y.A.S Dato’ Sri Teknologis Nor Hisham Mohammad turut berucap dalam majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : DARWINA MOHD. DAUD