Kerajaan Negeri teliti semula pelaksanaan BDR, perkukuh inisiatif mobiliti penjawat awam

Admin
whatsapp image 2026 04 08 at 18.02.27

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini sedang meneliti semula keperluan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam, dengan mengambil kira maklum balas menyeluruh daripada setiap jabatan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, perbincangan awal pada peringkat Exco telah diadakan hari ini, dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) diarahkan mendapatkan maklum balas terperinci daripada semua jabatan berhubung keperluan pelaksanaan BDR.

“Ini termasuk kesesuaian tugasan berdasarkan panduan yang kita terima,” ujarnya sebagai respons terhadap pertanyaan pemberita usai Majlis Penyampaian Cek Cura Sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Tadika, Pusat Pendidikan Punjabi dan Telegu di Komtar sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan pelaksanaan BDR akan dibuat berdasarkan dapatan maklum balas semasa serta keperluan sebenar perkhidmatan.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow memaklumkan bahawa Pulau Pinang telah perkenalkan pelbagai inisiatif mobiliti sebagai alternatif, termasuk perkhidmatan bas ulang-alik khas di bawah inisiatif Congestion Alleviation Transport (CAT) kepada penjawat awam dengan kadar subsidi serendah RM150 sebulan.

Inisiatif ini melibatkan tujuh bas sewaan khas (chartered) yang beroperasi ke Komtar dari beberapa lokasi strategik seperti Bertam, Jawi, Seberang Jaya dan Balik Pulau.

“Selain itu, sebahagian penjawat awam turut menikmati kemudahan bas percuma dari Bukit Mertajam ke Komtar, manakala perkhidmatan Bridge Express Shuttle Service (BEST) pula disediakan bagi laluan Seberang Perai ke Bayan Lepas, memberi manfaat kepada pekerja industri setiap hari,” jelasnya.

Sebagai makluman, garis panduan BDR pada peringkat Persekutuan menetapkan kelayakan berdasarkan faktor jarak perjalanan, khususnya bagi penjawat awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor serta 21 ibu negeri atau pusat pentadbiran termasuk George Town, dengan jarak perjalanan melebihi lapan kilometer sehala.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT