PERMATANG BERANGAN – Ketidaktentuan global yang semakin meruncing ketika ini dilihat bukan sahaja memberi cabaran kepada industri halal, malah membuka ruang strategik untuk Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai hab halal yang stabil, dipercayai dan berdaya tahan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan geopolitik antarabangsa, khususnya konflik di Asia Barat yang melibatkan laluan strategik seperti Selat Hormuz telah memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan global.
“Situasi tersebut bukan sahaja menjejaskan sektor tenaga, malah mencetuskan kesan domino kepada industri halal termasuk peningkatan kos logistik, kelewatan penghantaran serta ketidaktentuan akses pasaran.
“Produk halal, terutamanya makanan segar dan barangan bersuhu terkawal, amat bergantung kepada kecekapan rantaian bekalan global yang stabil, sekali gus menjadikan gangguan ini sebagai cabaran besar kepada pemain industri.
“Namun begitu, di sebalik cabaran berkenaan, Malaysia mempunyai peluang untuk memanfaatkan situasi semasa dengan memperkukuh keupayaan domestik serta strategi eksport,” katanya ketika ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Projek Pecah Tanah Pembangunan Industri – PERDA Halal Park Fasa 2 dekat Kubang Menerong di sini pagi tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan, Dato’ Rashidi Zinol; Pengerusi PERDA, Dato’ Dr. Shaik Hussein Mydin dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican.
Perda Halal Park Fasa 2 berkeluasan 4.4 hektar di sebahagian Lot 21328 Mukim 12, Kubang Menerong di sini merupakan kesinambungan kepada Fasa Satu yang telah siap pada 2015.
Pojek yang menelan kos RM33 juta itu dijangka dapat dimulakan pada Julai ini dan mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan.





Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata usaha mempelbagaikan pasaran eksport, mengukuhkan rantaian bekalan dalam negara dan meningkatkan kecekapan logistik dikenal pasti sebagai faktor penting dalam memastikan kelangsungan serta daya saing industri halal negara.
“Sehubungan itu, pendekatan baharu perlu diambil dengan memberi tumpuan kepada pembinaan kekuatan dalaman yang lebih tersusun dan berdaya tahan, berbanding terlalu bergantung kepada sistem global semata-mata.
“Langkah ini diyakini mampu memastikan industri halal negara terus berkembang secara mampan walaupun berdepan persekitaran global yang mencabar,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mengingatkan bahawa Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pemerhati dalam landskap industri halal global yang kini berkembang pesat dengan nilai pasaran diunjurkan mencecah kira-kira USD5 trilion menjelang tahun 2030.
Sebaliknya, beliau berkata negara perlu berada di barisan hadapan bukan sahaja sebagai peneraju pensijilan halal, tetapi juga sebagai kuasa besar dalam aspek pengeluaran, inovasi dan perdagangan halal di peringkat antarabangsa.
“Ketika ini, Malaysia telah diiktiraf sebagai antara peneraju industri halal global dengan sistem pensijilan yang diyakini di hampir 50 negara, selain mengekalkan kedudukan teratas dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama bertahun-tahun.
“Namun begitu, potensi sebenar industri halal negara dilihat jauh lebih besar daripada pencapaian sedia ada, sekali gus menuntut usaha berterusan untuk memperluas pengaruh Malaysia di pasaran antarabangsa.
“Industri halal bukan sahaja menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi domestik, malah berperanan sebagai pintu masuk strategik ke pasaran global yang lebih luas merangkumi Asia, Timur Tengah dan Eropah,” jelasnya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata pembangunan PERDA Halal Park dilihat sebagai antara langkah konkrit dalam merealisasikan aspirasi tersebut.
“Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen berterusan serta pendekatan berani dan berpandangan jauh dalam memperkukuh ekosistem pembangunan ekonomi Bumiputera.
“Selain itu, langkah ini juga selari dengan usaha melahirkan masyarakat luar bandar yang lebih mandiri, berdaya saing serta berupaya menembusi pasaran global,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, prestasi memberangsangkan industri halal negara terus memperlihatkan asas kukuh apabila nilai eksport halal Malaysia mencecah RM61.79 bilion pada tahun 2024, sekali gus menandakan daya saing tinggi produk tempatan di pasaran antarabangsa.
Menurutnya, produk halal Malaysia berjaya menembusi pasaran utama termasuk China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat dan Indonesia, membuktikan keyakinan global terhadap kualiti serta piawaian yang ditawarkan negara ini.
“Sektor makanan dan minuman kekal sebagai penyumbang terbesar dengan nilai melebihi RM34.03 bilion, diikuti sektor ramuan halal yang semakin berkembang pesat.
“Pencapaian tersebut mencerminkan bahawa produk halal Malaysia bukan sahaja diyakini, malah mempunyai nilai komersial yang tinggi serta berpotensi untuk terus berkembang di peringkat global.
“Justeru, pembangunan PERDA Halal Park dilihat sebagai langkah tepat dan selari dengan keperluan semasa industri, khususnya dalam menyediakan ruang pengeluaran yang lebih tersusun dan berdaya saing.
“Inisiatif berkenaan turut berperanan membina ekosistem menyeluruh yang mampu menyokong pertumbuhan usahawan, sekali gus memperkukuh rantaian nilai industri halal negara,” ujarnya.
Tambahnya lagi, melalui Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), Malaysia telah menetapkan sasaran jelas untuk meningkatkan sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 11 peratus, mencapai nilai eksport RM70 bilion serta mewujudkan kira-kira 700,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Hala tuju ini mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memastikan industri halal kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, di samping membuka lebih banyak peluang kepada rakyat, khususnya komuniti luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata pestasi eksport produk halal Pulau Pinang mencatatkan peningkatan ketara apabila nilai dagangan melonjak daripada RM11.5 bilion pada tahun 2023 kepada RM20.5 bilion pada tahun 2024.
Katanya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peningkatan tersebut turut menyaksikan sumbangan peratusan bertambah daripada 23.4 peratus kepada 36.4 peratus, sekali gus mencerminkan pertumbuhan signifikan sektor berkenaan di negeri ini.
“Momentum positif ini terus diperkukuh apabila laporan bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merekodkan pencapaian eksport produk halal Pulau Pinang mencecah RM18.31 bilion.
“Perkembangan ini menunjukkan daya tahan serta keupayaan industri halal negeri untuk terus berkembang dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, selain mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai antara penyumbang penting kepada eksport halal negara.
“Peningkatan berterusan ini juga dilihat selari dengan usaha memperkukuh ekosistem industri halal, termasuk pembangunan infrastruktur serta sokongan kepada pemain industri bagi menembusi pasaran global,” katanya.
Shaik Hussein yang turut berucap sebelum itu memberitahu bahawa PERDA Halal Park bukan sekadar pembangunan biasa, sebaliknya sebuah hab industri yang akan memenuhi standard kualiti serta integriti halal yang diiktiraf, sekali gus mencerminkan komitmen PERDA dalam membangunkan infrastruktur halal yang kompetitif di negeri ini.
“Projek fasa dua ini ini telah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang pada 26 Februari lepas, dan kita menyasarkan kerja pembinaan akan bermula secara rasmi pada Julai ini.
“Kerja-kerja pembinaan dijangka mengambil masa selama 24 bulan, dan kita akan dapat melihat ia siap sepenuhnya pada Julai 2028,” jelasnya.
Beliau berkata, pembangunan PERDA Halal Park Fasa Dua itu dirangka sebagai ekosistem perniagaan
lengkap bagi menyokong pertumbuhan industri halal tempatan.
Menurutnya, antara komponen utama projek itu ialah pembinaan 22 unit industri teres setingkat yang akan menjadi nadi pengeluaran produk halal usahawan, selain penyediaan fasiliti sokongan termasuk pejabat pentadbiran, surau, dewan serba guna, tandas, kompleks makanan dengan lima unit gerai
serta pusat pengumpulan sampah.
Dalam pada itu, beliau berkata kawasan seluas
120 ekar (46.5 hektar) telah diperuntukkan bagi
pembangunan industri halal, yang turut menerima pengiktirafan Halal Malaysia (HALMAS) daripada Halal Development Corporation (HDC) sejak 2011, dan kawasan itu aset strategik yang dibangunkan secara
komprehensif hasil perancangan jangka panjang sejak dua dekad lepas.
“Sehingga kini, sebanyak 40 ekar atau 33 peratus daripada pelan induk telah dibangunkan secara berfasa.
Kita telah menyaksikan kejayaan pembangunan Fasa
Satu melibatkan kerja tanah pada 2005, diikuti Fasa lA (2007), 1B (2009), 1C (2011) dan 1D pada
2015,”katanya.
Shaik Hussein berkata hasil pembangunan itu
turut menyaksikan PERDA Food Park dan Midtown kini beroperasi di kawasan seluas 40 ekar (16.1) hektar yang menempatkan 27 unit kilang industri kecil dan sederhana (IKS) pelbagai saiz serta 20 lot industri untuk jualan, dengan kos keseluruhan melebihi RM28 juta.
Beliau berkata projek itu masih terdapat baki kira-kira 70 ekar (28.3 hektar) kawasan pembangunan yang sedia dimajukan, sekali gus membuka peluang bagi pengembangan industri halal pada masa hadapan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS