GEORGE TOWN – Pihak yang bertindak membocorkan rekod yang belum didedahkan kepada anggota Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang wajar dikenakan tindakan oleh Speaker, Dato’ Seri Law Choo Kiang.
Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyampaikan desakan itu semasa Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim saling bertikam lidah dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Oh Ah Teong pada persidangan DUN Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 21 Mei 2025.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyifatkan insiden rekod persidangan bocor itu adalah seperti menghina kemuliaan Dewan.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan mendesak pihak Choo Kiang membuat siasatan susulan jika melibatkan pegawai yang tidak bertanggungjawab.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan yang juga ADUN Padang Lalang, Daniel Gooi Zi Sen kemudian bangun mencelah dengan membacakan peraturan mesyuarat serta menggesa Ah Teong menarik balik tuduhan yang dibuat.
“Peraturan 46 (13) (a) menyatakan bahawa seseorang Ahli Dewan tidak boleh menuduh seseorang Ahli yang lain mempunyai niat yang tidak baik.
“Justeru, merujuk kepada peraturan ini, kita mohon ADUN Batu Lancang menarik balik tuduhan terhadap ADUN Sungai Pinang,” katanya.
Selepas beberapa ADUN mengambil bahagian dalam isu kebocoran rekod persidangan secara tidak sah tersebut serta desakan daripada Siew Khim sendiri, Ah Teong akhirnya memohon maaf secara terbuka dalam persidangan dewan tersebut.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI