Ketua Menteri santuni komuniti Pakistan, serlah semangat muhibah

Admin
3f41e68d ac71 41d5 8eb0 7f507d0b98e5 KETUA Menteri (tengah, berbaju batik kehitaman) menyantuni para tetamu yang menyertai Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan Liga Pakistan Se-Malaysia di Masjid Pakistan di sini pada 5 April 2026.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow terus menzahirkan komitmen beliau dalam menyemarakkan keharmonian antara kaum di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyantuni warga Liga Pakistan Se-Malaysia Pulau Pinang dalam Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di perkarangan Masjid Pakistan di sini pada 5 April 2026.

Kehadiran Kon Yeow yang diiringi isteri, YABhg. Puan Tan Lean Kee, bukan sekadar bagi meraikan sambutan hari lebaran, malah menjadi simbolik sokongan padu Kerajaan Negeri terhadap kepelbagaian budaya dan komuniti di negeri ini.

f7cbf6f1 52cc 4334 aa1e 2abb595b0416
TUN Ramli Ngah Talib dan isteri menyantuni para tetamu Majlis Jamuan Makan yang dianjurkan Liga Pakistan Se-Malaysia di sini pada malam tadi.

Kon Yeow dan isteri menyambut mesra keberangkatan tiba Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Y.M. Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah yang berkenan hadir bagi menyerikan majlis tersebut.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran.

Dengan kehadiran Konsul Jeneral Republik Rakyat China ke Pulau Pinang, Zhou Youbin; Konsulat Besar Republik Rakyat Indonesia Ke Pulau Pinang, Bapak Wanton Saragih Sidauruk; Konsulat Besar Thailand Ke Pulau Pinang, Srirat Vathesatogkit dan Pengerusi Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang, Tan Sri (Dr.) Mohd. Yussof Latiff menambahkan lagi makna dalam majlis keramaian tersebut.

5e3bf22f c9a5 4c95 af58 835dc61d0d13
ABDUL Rafique Karim

Konsul Jeneral Kehormat Pakistan di Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Haji Abdul Rafique Karim semasa menyampaikan ucapan antara lain memuji kepimpinan Kerajaan Negeri hari ini yang sentiasa komited dalam usaha memupuk perpaduan melalui kerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Liga Pakistan Se-Malaysia sentiasa menyokong usaha muhibah yang diterajui oleh Kerajaan Negeri, dan penganjuran majlis buat kali ke-19 ini adalah bukti semangat kebersamaan antara komuniti lokal dengan barisan pemimpin negeri,” ujarnya.

Dengan penganjuran majlis pada malam ini sekali gus mencerminkan semangat inklusif dalam kalangan penduduk negeri, sebagaimana digagaskan dalam Visi Penang2030.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : SIEW CHIA EN