Ketua Menteri seru perpaduan, tolak provokasi sempena Aidilfitri

img 20260317 wa0052

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru seluruh masyarakat, khasnya di Pulau Pinang supaya terus memelihara perpaduan dan keharmonian sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, etnik dan budaya telah melalui pelbagai fasa pembangunan sejak merdeka sehingga berjaya mencapai kemajuan yang dinikmati pada hari ini.

“Menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat bukan sahaja untuk memastikan negara ini kekal aman, tetapi juga terus maju dengan menjunjung nilai-nilai murni sebagai sebuah negara contoh yang tidak meminggirkan rakyat.

“Setiap kepentingan dan hak rakyat perlu dilindungi serta dihargai,” katanya kepada pemberita pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut mengingatkan agar mana-mana pihak yang mempunyai agenda tertentu supaya berfikir secara rasional dan mendalam demi kepentingan bersama.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa sebarang perbezaan pandangan sama ada melibatkan politik atau isu semasa perlu disalurkan melalui saluran yang betul, tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Bercakaplah benar dan elakkan daripada memutarbelit fakta atau mereka-reka cerita yang tidak berasas.

“Sekiranya kita berpegang kepada prinsip ini, sebarang provokasi tidak perlu dilayan dan boleh dianggap sebagai tindakan segelintir individu yang akhirnya akan menyedari tanggungjawab mereka,” ujarnya.

Mengakhiri pesanan, Kon Yeow berharap semangat Aidilfitri dapat terus menyatukan rakyat serta memperkukuh keharmonian demi kesejahteraan negeri dan negara.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD IQBAL HAMDAN
Video : SIEW CHIA EN