Klasifikasi semula kadar cukai tanah First Grade tanpa kebenaran merancang bagi kurang beban pemilik

Admin
img 20260401 wa0052

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengumumkan penambahbaikan mekanisme penentuan kadar cukai tanah bagi menangani isu yang dibangkitkan media serta pemilik tanah berhubung pelaksanaan kadar baharu mulai 1 Januari 2026.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri telah memperhalusi perkara tersebut dan bersetuju melaksanakan kaedah pengklasifikasian semula kepada kegunaan bangunan bagi tanah kategori First Grade, Condition A, B, C serta Kategori dan Syarat Nyata Tiada (NIL) yang tidak mempunyai Kebenaran Merancang.

Menurut beliau, penambahbaikan ini melibatkan tanah yang digunakan bagi tujuan perindustrian dan perniagaan tetapi tidak melalui proses perancangan yang sewajarnya.

“Melalui pendekatan ini, kadar cukai ditetapkan berdasarkan kadar Bangunan (Lain-lain), iaitu RM0.70 semeter persegi bagi tanah bandar dan RM0.50 semeter persegi bagi tanah desa berbanding RM3.25 yang diputuskan sebelum ini.

“Bagaimanapun, pemilik tanah dalam kategori ini tidak lagi layak menerima rebat 50 peratus sedia ada kerana mereka telah menikmati pengurangan kadar bayaran cukai tanah yang ketara,” jelasnya dalam sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Dato’ Dr. Faizal Kamarudin.

img 20260401 wa0059
Dr. Faizal Kamarudin.

Kon Yeow menegaskan bahawa pendekatan tersebut merupakan inisiatif terbaik Kerajaan Negeri dalam usaha menyantuni rakyat, khususnya bagi mengurangkan jumlah cukai tanah yang perlu dibayar oleh pemilik terlibat.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pemilik tanah agar mengambil langkah proaktif untuk memajukan tanah masing-masing melalui saluran undang-undang yang betul, sekali gus membantu merancakkan pembangunan negeri.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa sehingga 31 Mac 2026, sebanyak 4,001 maklum balas dan rayuan telah diterima oleh Pejabat Daerah di seluruh negeri.

Daripada jumlah tersebut, beliau memberitahu bahawa sebanyak 2,885 rayuan melibatkan isu kenaikan kadar cukai tanah yang tinggi, termasuk kes berkaitan tanah First Grade, naik taraf tanah desa kepada bandar, tanah pertanian durian, tanah bukit serta permohonan semakan semula kadar.

“Selain itu, sebanyak 1,116 rayuan pula melibatkan isu teknikal seperti bangunan di atas dua lot atau lebih yang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 574 kes, diikuti masalah kewangan pemilik, projek terbengkalai, organisasi tidak berasaskan keuntungan serta tanah yang tidak diusahakan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa daripada keseluruhan rayuan yang diterima, sebanyak 3,043 kes kini sedang dalam tindakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 163,262 pemegang akaun cukai tanah telah menjelaskan bayaran masing-masing setakat 31 Mac lalu, mewakili 54 peratus daripada jumlah pembayar cukai aktif pada tahun 2025.

“Jumlah ini sebenarnya lebih rendah sedikit berbanding tempoh sama tahun lepas, mungkin disebabkan pemilik tanah masih menunggu pengumuman baharu daripada Kerajaan Negeri sebelum membuat bayaran cukai tanah masing-masing,” ujarnya.

Pada masa Kon Yeow menyeru semua pemilik tanah yang terlibat agar mengemukakan rayuan kepada Pejabat Daerah dan Tanah sebelum tarikh akhir pada 30 April ini.

“Namun, sekiranya masih terdapat rayuan dikemuakan selepas tarikh tersebut, kita sedia mempertimbangkan perkohonan tersebut,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai perbincangan bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada 30 Mac lalu, Kon Yeow memaklumkan bahawa semua pihak telah menerima penjelasan berhubung semakan semula kadar cukai tanah yang baharu.

“Merujuk kepada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Anthony Loke pada 30 Mac 2026, ia (mesyuarat tersebut) berlangsung dengan lancar dan semua pihak telah menerima penjelasan berkaitan pelaksanaan semakan cukai tanah 2026 melalui satu pembentangan laporan yang lengkap.

“Laporan berkenaan dibentangkan bagi tujuan makluman kepada Setiausaha Agung, dan beliau berpuas hati terhadap semua inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam membantu mengurangkan impak kenaikan kadar cukai tanah baharu.

“Walau bagaimanapun, mesyuarat semalam tidak memutuskan penyelesaian, sebaliknya semua keputusan yang dibuat hari ini adalah hasil pertimbangan MMK, setelah mengambil kira pelbagai cadangan yang dikemukakan bagi mengurangkan impak kenaikan kepada rakyat, selain menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh pemilik tanah sebelum ini,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD