Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengalu-alukan mana-mana pihak hartanah untuk bersama pihak berkenaan memulihkan bangunan bangunan terbengkalai di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri lazimnya sedar bahawa bangunan-bangunan yang terbengkalai di sini akan memberi impak negatif terutamanya dari segi imej, aspek keselamatan, pertumbuhan ekonomi serta tanggungan cukai yang tinggi.
“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) mengalu-alukan inisiatif tersebut,’’ katanya pada Majlis Perasmian Bangunan Hexagon Tech Park (Hexagon) di sini baru-baru ini.
Bangunan Hexagon yang terletak di Jalan Gurdwara merupakan bangunan terbengkalai lebih 14 tahun setinggi 13 tingkat yang telah diberi nafas baru dengan penjenamaan semula oleh syarikat Ferrier Hodgson MH Sdn. Bhd. (Ferrier Hodgson).
Pihak terbabit telah mengambil alih untuk membaik pulih dan meneruskan operasi bangunan berkenaan di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.
Dalam pada itu, wakil Ferrier Hodgson, Andrew Heng menyatakan bahawa sejumlah RM19.8 juta diperuntukan dalam membaik pulih bangunan tersebut.
“Kos berkenaan membabitkan penetapan ruang empat lif penumpang baharu, dua lif kargo, kaca baharu dan bingkai tingkap aluminium, pendawaian semula semua punca elektrik serta suis.
“Kita telah melantik kontraktor bertauliah dari D’ Bright Bina Sdn. Bhd. (sebahagian daripada Tamarin Group) dan Raine & Horne International Zaki & Partners Sdn. Bhd. sebagai pengurus hartanah dalam projek pemulihan baru-baru ini,” jelas Andrew yang turut menghargai kesungguhan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sewaktu proses mendapatkan sijil perakuan kelayakan menduduki (certificate of fitness).
Jelas Andrew, Hexagon yang dahulunya dikenali sebagai Kompleks Adorna Diamond mempunyai 161 unit ruang pejabat dengan keluasan antara 700 kaki persegi hingga 20,000 kaki persegi setiap satu.
“Selain dilengkapi kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi daripada TIME dotcom Berhad
(TIME), bangunan yang bakal beroperasi 24 jam seminggu ini turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan 207 ruang parkir,’’ ujar beliau.