Krisis tenaga dan peperangan, Kerajaan usaha tangani melalui laluan diplomatik

Admin
9713aa55 60dd 46d2 977f 43b020eade1e

BAYAN LEPAS – Berdepan krisis tenaga (minyak) akibat perang di Asia Barat, kerajaan (Persekutuan) sedang berusaha melalui laluan diplomatik bagi memastikan Malaysia tidak menerima impak yang terlalu hebat, khususnya dari segi bekalan minyak akibat penutupan penutupan selat Hormuz.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Amanah Negara (AMANAH) Pulau Pinang dekat perkarangan Kompleks Makanan Teluk Kumbar Heights di sini sebentar tadi.

c8abade3 ac65 4662 babd 7d6a26c4b5ca

Beliau menyatakan bahawa pihak berkepentingan seperti Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Petronas telah memberi taklimat terkini berhubung cabaran besar yang mungkin perlu dihadapi khususnya berkaitan harga minyak pembekalannya.

“Sekiranya kapal-kapal minyak tidak dapat membawa minyak mentah untuk kilang-kilang kita memproses, maka kita akan hadapi satu situasi berapa lama kita boleh tahan dalam keadaan kekurangan sumber minyak.

3ccdbc4c 5306 4678 a2b5 76fd19205e69 7879b7dd eda1 4cfa 88f4 72c41619d8a6

“Oleh itu, usaha di peringkat antarabangsa melalui tindakan-tindakan diplomasi, hubungan YAB Perdana Menteri dengan pemimpin-pemimpin dunia lain, sedang berusaha untuk menangani cabaran ini,” jelasnya lanjut.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Seri Law Choo Kiang; Timbalan Yang Dipertua DUN, Dato’ Azrul Mahathir Aziz selaku tuan rumah; Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; barisan Exco, Pengerusi AMANAH Negeri, Muhammad Faiz Fadzil dan kepimpinan-kepimpinan politik Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang yang lain.

Tambah Kon Yeow, kesan yang seterusnya adalah impak kewangan kepada negara akibat krisis terbabit.

“Apabila kita perlu menanggung harga minyak yang lebih tinggi, berapa lama Petronas boleh memberi pembayaran kepada negara Malaysia ini?

“Ini adalah satu isu yang amat penting, sebab kalau kita kurang sumber kewangan, ini akan menjejaskan kedudukan dan kestabilan negara kita.

“Dari segi ekonomi pula, rakyat di lapangan akan rasa tekanan daripada kenaikan harga, kekurangan bekalan, kerana selain daripada harga minyak, bahan kimia seperti baja, ubat-ubatan, semua terkesan ekoran daripada harga minyak ini.

“Malah, dari segi keterjaminan makanan, Menteri sendiri telah memberi jaminan bahawa dari segi beras, bekalan ayam dan telur, kita dalam satu kedudukan yang selesa,” jelasnya yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa walaupun perang dihentikan sekarang, kesannya masih akan berlanjutan sehingga beberapa bulan untuk pulih dengan sepenuhnya.

“Justeru, marilah kita memberi sokongan padu kepada pimpinan negara kita, khususnya YAB Perdana Menteri dan semua jemaah menteri, agensi-agensi keselamatan, Petronas, Kementerian Pertanian Keterjaminan Makanan, Kementerian Ekonomi dan lain-lain berkaitan supaya mengemudi Malaysia untuk pulih daripada ancaman krisis yang sedang melanda kita.

“Sebagai rakyat, kita kemungkinan akan susah sedikit daripada segi harga barangan, tetapi seperti yang dinyatakan, kerajaan walaupun susah akan berikhtiar untuk meneruskan apa juga bantuan kewangan dan insentif serta subsidi dalam lingkungan kemampuan kita untuk memastikan sama-sama kita memikul tanggungjawab bagi menghadapi cabaran negara kini,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN