Kronologi ringkas penubuhan pps

PENUBUHAN Pasukan Peronda Sukarela (PPS) dicadangkan pada 8 April 2009 oleh Kerajaan Negeri. Hanya pada 27 April 2011 melalui kertas Mesyuarat MMK Bil 16/2011, penubuhan PPS diluluskan dan disahkan pada 4 Mei 2011. Garis Panduan telah disiap sedia pada Mei 2011.

Susulan kelulusan penubuhan PPS oleh Kerajaan Negeri, Majlis Pelancaran PPS telah diadakan di Dewan Sri Pinang pada 17 September 2011. Majlis tersebut dilancarkan oleh Ketua Menteri dan dihadiri Ahli-Ahli EXCO, ADUN-ADUN, Penyelaras KADUN dan semua ahli-ahli PPS yang berdaftar ketika itu.

Melalui majlis pelancaran berkenaan, Ketua Menteri telah menyampaikan sijil-sijil pelantikan sebagai ahli PPS kepada semua ADUN yang hadir. Ketua Menteri juga telah memakaikan vest kepada ADUN bagi menandakan mereka juga telah menjadi ahli PPS bermula dari tarikh pelancarannya.

Jumlah ahli yang telah didaftarkan pada ketika itu adalah seramai 937 ahli dengan jumlah pasukan sebanyak 46 pasukan. Selepas pelaksanaan saringan pentadbiran, jumlah ahli terkini adalah seramai 9,002 orang, manakala jumlah pasukan terkini adalah sebanyak 299 buah. Perincian mengikut agihan bangsa ahli-ahli PPS adalah seperti berikut :

  • Melayu : 33% (2,970 orang)
  • Cina : 56.9% (5,123 orang)
  • India : 9.7% (873 orang)
  • Lain-lain : 0.4% (36 orang)

Antara kursus-kursus dan taklimat yang diadakan untuk ahli-ahli PPS adalah seperti :

a. Kursus Rawatan Kecemasan
b. CPR
c. Pengurusan kes-kes kecemasan – —Balutan Luka —Rawatan patah tulang
d. Kursus Rawatan Patukan/Sengatan Haiwan Berbisa
e. Penerangan tindakan-tindakan yang perlu diambil ketika bencana/kecemasan :
—Banjir kilat, —Ribut, —Kebakaran, —Kemalangan
f. Talimat penerangan SOP PPS
g. Maklumat perhubungan agensi-agensi kerajaan yang penting
h. Kaedah catitan buku log PPS untuk sesuatu kecemasan dan laporan segera kepada ADUN.

Selain itu, bagi memastikan fungsi PPS dapat dijalankan dengan lebih menyeluruh kepada masyarakat, ahli-ahli PPS juga turut digalakkan bekerjasama bersama agensi-agensi kerajaan seperti Polis, Bomba, Rela dan sebagainya.

Saling bekerjasama bersama agensi-agensi ini membolehkan PPS menjadi lambang ketenteraman awam.

Secara ringkas, struktur PPS dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu :

Peringkat Negeri : Dipengerusikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan MMK Masyarakat Penyayang. Ahli Jawatankuasa mesyuarat adalah terdiri daripada ADUN-ADUN serta Unit-Unit & Agensi Kerajaan.

Peringkat Daerah : Dipengerusikan oleh Pegawai Daerah masing-masing. Ahli Jawatankuasa Mesyuarat adalah terdiri daripada ADUN-ADUN di bawah daerah masing-masing serta semua Unit-Unit & Agensi Kerajaan.

Peringkat Parlimen : Dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kawasan. Ahli Jawatankuasa Mesyuarat terdiri daripada ADUN-ADUN dibawah Parlimen tersebut dan Ketua Pasukan PPS.

Peringkat DUN : Dipengerusikan oleh ADUN kawasan masing-masing. Ahli Jawatankuasa Mesyuarat adalah terdiri daripada Ketua-Ketua Pasukan, Timbalan dan Naib Ketua Pasukan PPS di bawah DUN tersebut.

Peringkat Pasukan : Dipengerusikan oleh Ketua Pasukan PPS. Ahli Jawatankuasa adalah terdiri daripada ahli-ahli pasukan.