SEBERANG JAYA – World Landscape Architect Month (WLAM) yang diraikan di peringkat antarabangsa setiap bulan April merupakan satu pengiktirafan terhadap peranan penting arkitek landskap dalam membentuk persekitaran indah, keseimbangan ekologi dan bandar berdaya tahan.
Jelas Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid, di Seberang Perai, pihaknya melihat landskap bukan sekadar elemen kosmetik.
“Sebaliknya landskap adalah nadi kehidupan bandar yang menyejukkan suhu, menyerap karbon, menyatukan komuniti dan mencorakkan identiti bandar kita.
“Selari dengan sambutan WLAM 2026 serta Hari Bumi pada 22 April, MBSP bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah mengambil langkah proaktif melaksanakan Program Penghijauan dan Penanaman Pokok sebagai satu usaha bersepadu untuk memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar.
“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam program penanaman pokok, malah turut memperlihatkan kesungguhan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memacu pembangunan bandar rendah karbon dan berkualiti tinggi.
“Apa yang lebih penting, program ini tidak terhenti di peringkat simbolik semata-mata. Melalui pengagihan anak pokok pinang kepada warga MBSP dan komuniti, kita sedang menyemai sesuatu yang lebih besar daripada sebatang pokok kita sedang menyemai kesedaran, tanggungjawab dan warisan untuk generasi akan datang,” ujarnya pada Majlis Pelancaran WLAM Peringkat PBT Serta Program Penghijauan dan Penanaman Pokok Pinang MBSP di Menara MBSP pagi tadi.

Majlis turut dihadiri oleh delegasi Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MPHS.
Tambahnya, masyarakat harus sedar bahawa cabaran perubahan iklim, peningkatan suhu bandar dan kemerosotan alam sekitar bukan lagi isu masa depan, ia adalah realiti masa kini.
“Oleh itu, saya ingin menyeru agar setiap daripada kita memainkan peranan, jika kita tidak mampu menanam seribu pokok, tanamlah satu.
“Jika kita tidak mampu mengubah dunia, ubahlah persekitaran kita, kerana perubahan besar sentiasa bermula dengan langkah kecil yang konsisten.
“Saya percaya bahawa dengan komitmen berterusan, Seberang Perai mampu muncul sebagai sebuah bandar yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan fizikal, tetapi juga unggul dari segi kelestarian, kesejahteraan dan kualiti hidup rakyatnya, selaras dengan aspirasi ‘Seberang Perai Aspirasi Bandar Masa Hadapan’ serta visi Penang2030,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN