Latihan konsisten, disiplin tinggi kunci kejayaan SMKA Syeikh Abdullah Fahim genggam tiga trofi kejuaraan

Admin
whatsapp image 2025 07 23 at 19.09.09 (11)

PADANG LALANG – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Syeikh Abdullah Fahim mengungguli Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Peringkat Negeri Pulau Pinang apabila berjaya menggondol tiga trofi kejuaraan daripada enam kategori yang dipertandingkan.

Dalam acara yang berlangsung dekat Pusat Kokurikulum Negeri Pulau Pinang itu, SMKA Syeikh Abdullah Fahim dinobatkan sebagai juara bagi kategori Badan Bukan Kerajaan (NGO) Puteri, Kelab Remaja Sekolah (KRS) Puteri dan KRS Putera.

Malah, sekolah tersebut turut menerima Anugerah Ketua Platun Terbaik bagi tiga kategori iaitu Badan Kerajaan (GO) Putera, NGO Putera dan NGO Puteri.

whatsapp image 2025 07 23 at 19.09.09 (10)
Muhammad Izzuddin Hasmizi.

Guru Penyelaras Unit Beruniform merangkap jurulatih kawad kaki SMKA Syeikh Abdullah Fahim, Muhammad Izzuddin Hasmizi ketika ditemui berkata bahawa komitmen dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh para pelajar menjadi faktor utama dalam mencapai kejayaan tersebut.

Katanya, semua pelajar yang terlibat menjalani latihan secara konsisten dan disiplin hampir setiap hari iaitu pada sebelah petang dan malam.

“Tambahan pula, SMKA Syeikh Abdullah Fahim adalah sekolah berasrama, jadi para pelajar boleh memberikan komitmen untuk menjalani latihan lebih kerap termasuk pada sebelah petang dan malam.

“Sebenarnya, latihan sebelah petang sekejap sahaja iaitu dari pukul 5 petang sehingga 6 petang, tetapi pada waktu malam latihan lebih panjang iaitu dari pukul 9 malam hingga 10 malam,” katanya.

Muhammad Izzuddin berkata, kejayaan tersebut juga adalah terhasil daripada sokongan dan dorongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), barisan guru, pentadbir sekolah serta alumni.

“Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada PIBG, alumni dan barisan pentadbir kerana tidak pernah berhenti memberikan sokongan dan tajaan sehingga pelajar mampu mencipta kejayaan pada hari ini.

whatsapp image 2025 07 23 at 19.09.09 (9)whatsapp image 2025 07 23 at 19.09.09 (2)whatsapp image 2025 07 23 at 19.09.09 (3)whatsapp image 2025 07 23 at 19.09.09 (4)

“Tanpa sokongan padu daripada semua pihak, kami mungkin tidak mampu untuk berada pada tahap ini,” ujarnya sambil menambah bahawa semua pakaian beruniform pelajar untuk pertandingan tersebut adalah ditaja sepenuhnya oleh alumni sekolah.

Beliau berkata, SMKA Abdullah Fahim mempertaruhkan seramai 210 pelajar pada tahun ini yang terdiri daripada enam platun.

“Pada tahun ini, kami membawa dua pasukan KRS Puteri dan Putera, Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA) perempuan serta pengakap lelaki dan perempuan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai prestasi, Muhamamd Izzuddin berkata SMKA Abdullah Fahim berjaya meningkatkan momentum dengan meraih tiga trofi kejuaraan pada tahun ini berbanding hanya dua pada tahun lepas.

“Tahun lepas, sekolah kami hanya memperoleh dua johan dan tempat ketiga dalam tiga kategori.

“Oleh itu, pada tahun ini kami mengambil pengajaran daripada pengalaman lalu dan berusaha menambah baik setiap kelemahan yang dikenal pasti.

“Bukan itu sahaja, para guru juga berusaha menambah baik kemahiran masing-masing dengan menyertai pelbagai kursus dan bengkel untuk meningkatkan lagi ilmu berkaitan kawad kaki.

“Sebagai guru, kami tidak boleh hanya melihat pelajar menjalani latihan dan harap berlaku keajaiban, sebaliknya guru-guru juga perlu berusaha mencari ilmu dan menambah baik segala kelemahan yang ada sebelum memberi tunjuk ajar kepada para pelajar,” ujarnya.

Rentetan kejayaan yang diraih, Muhammad Izzuddin berkata bahawa semua pasukan yang dinotbatkan sebagai johan akan mengambil bahagian dalam pertandingan kawad kaki pada peringkat kebangsaan di Putrajaya.

“Selepas ini kami akan ke peringkat kebangsaan dan kami sasarkan untuk berada dalam kedudukan lima pasukan terbaik.

“Namun begitu, kami perlu membuat rakaman video terlebih dahulu pada fasa pertama dan sekiranya tersenarai dalam kedudukan lima terbaik, maka kami akan ke peringkat kebangsaan untuk pertandingan secara bersemuka di Putrajaya,” katanya menutup bicara.

Terdahulu, majlis penutup Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Beruniform dan Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung pada 22 hingga 23 Julai 2025 telah dirasmikan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen.

Semasa berucap, Zi Sen berkata bahawa penganjuran Fiesta Rakan Muda berupaya membina ekosistem pembangunan belia yang menyeluruh daripada aspek seni, kemahiran, kesukarelawanan, digital, alam sekitar, sehinggalah kepada ekspresi budaya dan suara demokrasi.

“Saya amat bangga melihat penyertaan daripada pelbagai latar belakang termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, NGO dan Sekretariat Rakan Muda.

“Ini membuktikan bahawa belia Pulau Pinang bersedia untuk menjadi pemacu masa depan negeri dan negara.

“Saya juga teruja melihat penyertaan ramai peserta dalam pelbagai pertandingan seperti Pertandingan Kawad Kaki yang mencerminkan disiplin dan semangat kerjasama,” katanya.

whatsapp image 2025 07 23 at 19.09.08 (9)whatsapp image 2025 07 23 at 19.09.09 (7) whatsapp image 2025 07 23 at 19.09.08 (1)

Beliau berkata, penganjuran fiesta tersebut juga adalah adalah selaras dengan hala tuju Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Dasar Belia Malaysia yang memberi fokus kepada pembangunan holistik anak muda.

“Maka, fiesta ini harus kita jadikan sebagai titik permulaan kepada lebih banyak ruang dan peluang untuk belia berkarya, menyumbang serta bersinar.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua belia untuk mengambil peluang ini dengan mencuba perkara baharu, mengembangkan potensi diri dan menjadi ejen perubahan dalam komuniti masing-masing,” serunya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah, Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Said Ibrahim; Timbalan Pengarah, Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Mohamad Dziauddin Mat Saad; Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar dan Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Ong Chin Shi.

Berikut merupakan senarai penuh pemenang mengikut kategori:

Kategori GO Puteri

Johan: SMK Dato’ Onn

Naib johan: SMKA Syeikh Abdullah Fahim

Tempat ketiga: SMK Raja Tun Uda

Tempat keempat: SMK Abdullah Munsyi

Tempat kelima: SMK Jit Sin

  • Ketua Platun Terbaik: SMK Raja Tun Uda

Katetori GO Putera

Johan: SMK Jit Sin

Naib johan: SMK Syeikh Abdullah Fahim

Tempat ketiga: SMK Chung Ling

Tempat keempat: SMK Bagan Jaya

Tempat kelima: SMK Teluk Kumbar

  • Ketua Platun Terbaik: SMKA Syeikh Abdullah Fahim

Kategori NGO Puteri

Johan: SMKA Syeikh Abdullah Fahim

Naib johan: SMK Perempuan Cina

Tempat ketiga: SMK Teluk Kumbar

Tempat keempat: SMK Jit Sin

Tempat kelima: SMK Kampong Kastam

  • Ketua Platun Terbaik: SMKA Syeikh Abdullah Fahim

Kategori NGO Putera

Johan: SMK Chung Ling

Naib johan: SMKA Syeikh Abdullah Fahim

Tempat ketiga: SMK Jit Sin

Tempat keempat: SMK Bagan Jaya

  • Ketua Platun Terbaik: SMKA Syeikh Abdullah Fahim

Kategori KRS Puteri 

Johan: SMKA Syeikh Abdullah Fahim

Naib johan: SM Sains Kepala Batas

Tempat ketiga: SMK Phor Tay

Tempat keempat: SMK Teluk Bahang

Tempat kelima: SMK Machang Bubuk

  • Ketua Platun Terbaik: SM Sains Kepala Batas

Kategori KRS Putera

Johan: SMKA Syeikh Abdullah Fahim

Naib johan: SMK Bukit Jambul

Tempat ketiga: SM Sains Kepala Batas

Tempat keempat: SMK Teluk Bahang

Tempat kelima: SMK Machang Bubuk

  • Ketua Platun Terbaik: SMK Bukit Jambul

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING