BUKIT TAMBUN – Sebagaimana dijanjikan sebelum ini, secara rasmi Lebuhraya Bandar Cassia sepanjang 5.45 kilometer (km) dari Jalan Batu Kawan ke Lingkaran Cassia Selatan dinamakan semula sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya mahu segala legasi mantan Perdana Menteri Ke-5 itu dalam membangunkan negara dan negeri ini, terus diingati generasi akan datang.
“Sebagai bandar baharu yang menjadi taman industri canggih (serta menempatkan) banyak syarikat Fortune 500 (500 syarikat terbesar di Amerika Syarikat) di sini, sebenarnya banyak sumbangan Pak Lah (Tun Abdullah) di Bandar Cassia.
“(Sehubungan itu,) kita sebagai Pihak Berkuasa Negeri percaya Pak Lah (Tun Abdullah) adalah seorang pemimpin yang melangkaui batasan tempat yang pernah diwakilinya iaitu Parlimen Kepala Batas, maka, Lebuhraya Bandar Cassia di sini dinamakan sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” jelasnya dalam sidang media berkaitan dekat Galeri Jualan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini pada 24 Jun 2025.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memberitahu bahawa Pihak Berkuasa Negeri bersetuju dengan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican untuk membina sebuah galeri peringatan ‘Pak Lah’ di Vision Park dekat Kepala Batas.
“Tanah, sudah dikenal pasti, Jabatan Arkib Negara Malaysia pun sudah melawat (tapak cadangan projek tersebut), dan kerja-kerja susulan telah kita (Pihak Berkuasa Negeri) serahkan kepada Jabatan Arkib Negara Malaysia,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap ADUN Padang Kota.
Bercakap pada sidang media sama, anak kepada mantan Perdana Menteri Ke-5, Tan Sri Kamaluddin Abdullah menyatakan bahawa beliau sekeluarga terharu atas usaha Pihak Berkuasa Negeri menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada nama Allahyarham ayahanda mereka.
Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyempurna Majlis Perasmian Penamaan Semula Lebuhraya Bandar Cassia Kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini.
Beliau antara lain mencadangkan Jalan Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP2) yang menyambung Batu kawan ke Nibong Tebal dinamakan juga sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi, selepas projek pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya berkaitan siap kelak.
“Pada hari ini, visi beliau (Tun Abdullah) itu telah menjadi kenyataan apabila Bandar Cassia muncul sebagai destinasi strategik dan tumpuan utama pelabur-pelabur luar, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri secara menyeluruh di samping dengan terbinanya Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang.
“Selain itu, rakyat Pulau Pinang selamanya akan berterima kasih kepada Tun Abdullah atas sumbangan beliau dalam projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) yang pertama; pembangunan Penang Sentral; pembinaan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan penubuhanKoridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER),” jelasnya lagi.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital merangkap Pengerusi Jawatankuasa Negeri Nama Geografi Pulau Pinang, Zairil Khir Johari; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir turut sertai majlis tersebut.
Terdahulu, pada 16 April 2025, Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berhasrat mengabadikan dengan menamakan Lebuhraya Bandar Cassia Batu Kawan sempena nama Tun Abdullah supaya legasi mantan Perdana Menteri ke-5 Malaysia terus dikenang oleh generasi akan datang.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD