MAINPP peruntuk RM1.45 juta, latih 150 guru laksana modul STEM-Q

0e93228f 89b4 41d7 b596 26f5b6b1821b MOHAMAD Abdul Hamid (tengah) bersama-sama empat pemimpin lain memegang cek cura bagi pelaksanaan modul STEM-Q bernilai RM1,450,000, sempena gimik perasmian Sesi Dialog Awam JPPIK Bersama Institusi-Institusi Pendidikan Islam di Dewan Al-Ansari, Masjid Al-Muhajirin Seberang Jaya pada 19 Ogos 2025.

SEBERANG JAYA – Tahun 2025, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) meluluskan sejumlah RM1.45 juta bagi melatih seramai 150 orang guru dari pelbagai institusi pendidikan Islam terpilih negeri, di samping membekalkan buku modul pelaksanaan STEM-Q kepada mereka.

2c70916c 0082 4b5f 8290 7300be9234ed
MOHAMAD Abdul Hamid dalam sidang media berkaitan di sini pada petang tadi.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, seramai 70 orang guru telahpun mengikuti program latihan kejurulatihan (TOT) bagi pelaksanaan modul STEM-Q tersebut, sementara 80 lain akan mengikuti program sama pada bulan Oktober ini.

“Melihat peratusan pelajar Muslim di Pulau Pinang pdalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) masih rendah, Kerajaan Negeri (menerusi MAINPP) telah mengambil inisiatif untuk menggalakkan pelajar minat kepada STEM melalui pelaksanaan modul STEM-Q untuk mengintegrasikan nilai Islam dengan prinsip saintifik al-Quran dalam pendidikan STEM,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Perpaduan Masyarakat.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sesi Dialog Awam Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) Bersama Institusi-Institusi Pendidikan Islam dan Majlis Pelancaran Modul STEM-Q di Dewan Al-Ansari, Masjid Al-Muhajirin Seberang Jaya pada 19 Ogos 2025.

Di samping itu, Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi JPPIK, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang turut mengambil bahagian dalam sesi dialog awam tersebut, sejak pagi tadi.

“Peranan JPPIK amat penting dalam menyelaras serta memperkasa pendidikan Islam di Malaysia (kerana) jawatankuasa ini bertanggungjawab memberi laporan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Melalui kerjasama erat dan strategik antara Kerajaan Negeri dan JPPIK – dahulu dikenali sebagai Lembaga Pengawalan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) – kita berharap kualiti pendidikan Islam di Malaysia dapat terus dipertingkat,” katanya sambil menegaskan bahawa semua institusi pendidikan Islam di negeri ini dikawal melalui Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Islam 1989.

6b5bd346 1421 4c85 b043 3ef4294e11a9
MOHAMAD Abdul Hamid, barisan pemimpn negeri serta para peserta Sesi Dialog Awam JPPIK Bersama Institusi-Institusi Pendidikan Islam dan Majlis Pelancaran Modul STEM-Q merakamkan gambar kenang-kenangan seusai dwiacara tersebut di sini tadi.

Menurutnya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) setakat ini telah mendaftarkan sejumlah 340 buah sekolah Islam di negeri ini, yang mana meliputi tujuh kategori.

“Tujuh kategori tersebut iaitu Tadika Islam Mutiara Madani (TIMM) sebanyak 21 buah; KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain) sebanyak 218 buah; Sekolah Rendah Agama Rakyat (14); Sekolah Menengah Agama Rakyat (17); SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan- 12); Maahad Tahfiz (44) dan Institusi Pondok (14).

“Seramai 54,610 orang pelajar menerima pendidikan Islam pada peringkat rendah dan menengah, manakala 3,314 orang guru berkhidmat di sekolah-sekolah tersebut,” ujarnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memberitahu bahawa MAINPP ketika ini sedang membina dua buah institusi pendidikan Islam baharu iaitu Madrasah al-Ittihadiyah al-Wataniah di Cherok Tok Kun dengan kos RM3.84 juta, dan Sekolah Rendah Agama Masjid Daerah Seberang Perai Utara dekat Telok Air Tawar (RM4 juta) yang mana kedua-duanya dijangka siap menjelang 2026.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri saban tahun turut menyalurkan Bantuan Sekolah Agama Rakyat (BSAR) secara sekali gus (one-off) untuk penyelenggaraan kecil, utiliti, alat bantu mengajar serta program kokurikulum; dengan sejumlah RM3.2 juta diluluskan bagi tahun 2024.

Dalam sidang media selepas itu, Mohamad memberitahu bahawa MAINPP memperuntuk sejumlah RM750,000 khusus untuk cetakan Al-Quran versi Pulau Pinang; yang mana ia dicetak oleh Yayasan Restu di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Abdul Latiff Mirasa.

“10,000 naskah (STEM-Q) untuk program latihan kejurulatihan, sementara 10,000 naskah lagi akan kita (MAINPP) edarkan ke (208 buah) masjid-masjid di negeri Pulau Pinang.

“Untuk tahun ini (2025), kita sasar melatih 150 orang (menerusi TOT), yang mana selepas ini jurulatih ini akan digerakkan ke institusi-institusi pendidikan Islam pada peringkat sekolah (bagi melatih guru-guru lain).

“Maknanya, usaha ini adalah selaras dengan saranan Perdana Menteri supaya pendidikan berkaitan AI (kecerdasan buatan), digital dan STEM dapat turut diterapkan di sekolah-sekolah (yang didaftarkan di bawah JHEAIPP),” jelasnya lagi.

Pengarah JHEAIPP, Dato’ Marzuki Hassan turut sertai dwi majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD