GEORGE TOWN – Makam Sheikh Omar Basheer (Mufti pertama Pulau Pinang) yang terletak di Kampung Melayu, Air Itam telah diwartakan sebagai Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
Menurut Pegawai Perancang Bandar dan Desa bagi Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Rozaini Hassan, atas kepentingan personaliti Omar Basheer telah menyumbang kepada penyebaran agama Islam di Pulau Pinang menjadikan tapak ini sangat signifikan dari segi sejarah Negeri.
“Sekarang makam berkenaan sedang dalam peringkat penilaian untuk diwartakan di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 (Enakmen 14).
“Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang yang mula beroperasi secara rasmi pada tahun 2021 sedang mengenal pasti bangunan serta tapak berpotensi untuk diwartakan sebagai warisan negeri, termasuklah Makam Sheikh Omar ini,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara baru-baru ini.
Difahamkan Omar Basheer merupakan imam pertama Pulau Pinang di Masjid Melayu Lebuh Aceh.
Beliau juga turut memainkan peranan besar dalam menyebarkan ajaran Islam serta membuka jalan kepada penubuhan Sekolah Al-Mas’ud, yang bermula dari masjid tersebut sebelum berpindah ke lokasi lain.
“Selain kepentingan dari sudut sejarah, makam ini turut memiliki nilai seni bina tinggi dengan senibina bercirikan Moorish, menjadikannya antara struktur unik dan signifikan dalam konteks warisan Islam serta budaya tempatan.
“Seni bina makam ini juga merupakan salah satu nilai penting dalam pemilihan dan penilaian tapak warisan,” maklum Rozaini lagi.
Sebagai rekod, makam berkaitan memegang dua rekod di Pulau Pinang iaitu makam umat Islam terbesar dan terindah.
Ia dibina selepas tahun 1881 selepas Omar Basheer meninggal dunia pada usia 70 tahun.
Mengulas mengenai bidang pengurusan, Rozaini memberitahu, makam yang terletak di atas tanah wakaf itu berada di bawah pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
“Kerja-kerja penyelenggaraan makam ini dipantau oleh Jabatan Warisan Negara dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Selain warisan ketara seperti bangunan dan tapak, pengiktirafan juga diberikan kepada warisan tidak ketara seperti seni silat, pantun, dan budaya sarapan pagi yang telah pun mendapat pengiktirafan di peringkat UNESCO,” ulasnya lanjut.
Sebagai informasi tambahan, Rozaini turut menjelaskan bahawa terdapat empat peringkat pengiktirafan warisan di Malaysia, iaitu peringkat antarabangsa di bawah UNESCO, peringkat kebangsaan di bawah Akta 645, peringkat negeri di bawah Enakmen Warisan Negeri dan peringkat Perancangan Tempatan di bawah pihak berkuasa tempatan melalui pewartaan Rancangan Tempatan atau Rancangan Kawasan Khas.
Justeru, masyarakat perlu mengetahui tahap pengiktirafan sesuatu warisan agar lebih jelas mengenai agensi bertanggungjawab terhadap pemeliharaan dan pengurusannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang ketika dihubungi mengakui makan tersebut pernah menjadi tumpuan pelancong dan berharap dengan status warisan ia mampu menggamit semula kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara
Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSHAD OMAR