MBPP bakal wujudkan pusat transit sisa binaan di Batu Maung, bendung tapak sampah haram

96028173 3c33 44f0 9595 68110b2cd061

PADANG KOTA – Bagi menangani pembuangan sampah haram sisa binaan dan perobohan (C&D), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bakal mewujudkan pusat transit sisa tersebut di Batu Maung.

Menurut Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran, masalah tersebut dikesan berlaku selepas tapak pelupusan sampah C&D Jelutong ditutup mulai 1 Disember lalu.

“Oleh itu, selepas ditutup kita berhasrat menjadikan Batu Maung sebagai pusat transit sebelum sisa-sisa binaan tersebut dibuang di tapak pelupusan sampah Pulau Burung (Seberang Perai).

“(Dan) sisa-sisa ini akan diangkut oleh kontraktor yang dilantik oleh MBPP bagi mengelakkan masalah pembuangan sampah haram dalam kawasan pulau,” ujarnya dalam sidang media sejurus Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 11 Tahun 2025 di Padang Kota di sini pagi tadi.

Untuk melaksanakan proses transit, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Rashidah Jalaludin memaklumkan bahawa bayaran sebanyak RM70 akan dikenakan untuk setiap satu tan sisa yang diangkut dari pusat transit berkenaan ke tapak pelupusan Ampang Jajar atau Pulau Burung.

Tambahnya, kos tersebut dilihat munasabah jika dibandingkan dengan pengurusan sisa yang diuruskan sendiri kerana perlu melibatkan pengangkutan dan masa kontraktor.

“Kemudahan fasiliti ini akan dikendalikan oleh Eurasia (Express Sdn. Bhd.) yang mana akan mengurangkan kos pengangkutan syarikat kontraktor.

“Kita jangka kemudahan pengasingan ini dapat disiapkan dalam tempoh empat ke enam bulan merangkumi kelulusan agensi-agensi kerajaan,” katanya.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: SIEW CHIA EN