MBSP lancar Anugerah Sekolah Hijau 2025, perkukuh pendidikan alam sekitar

Admin
dbb9bdee 2230 4630 8dbf e4e899178824

 

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melancarkan Anugerah Sekolah Hijau Peringkat Seberang Perai Kali Ke-15  dalam memperkukuh pendidikan alam sekitar terhadap generasi muda.


Menurut Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul AMin Abdul Hamid, memasuki tahun ke-15, jalinan kerjasama strategik antara MBSP dan Continental Automotive Components (Malaysia) Sdn. Bhd., menjadikan agenda kelestarian sampai ke peringkat akar umbi.

“Sokongan pihak swasta seperti Continental sejak tahun 2010 menjadi pemangkin utama kepada kelangsungan program ini, yang secara konsisten mengangkat agenda kelestarian di peringkat akar umbi.

“Anugerah in diperkenalkan sebagai inisiatif untuk mendidik dan menyemai nilai kelestarian dengan penyertaan sebanyak 85 buah sekolah pada tahun ini, merangkumi 50 sekolah rendah dan 35 sekolah menengah di seluruh Seberang Perai.

“Ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya yang mencerminkan komitmen semakin meluas warga sekolah terhadap pemeliharaan alam sekitar,” ujar beliau pada Anugerah Sekolah Hijau 2025 Peringkat Seberang Perai bertempat di Auditorium Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.

9d732421 f2fc 4e7c 8f1d bfd860207712

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor; Ahli-ahli Majlis MBSP dan Pengarah Urusan Continental, Carlos Cano.

Mengulas lanjut Baderul Amin, memaklumkan  sesi penilaian fizikal ke sekolah-sekolah terlibat akan dijalankan bermula 22 September hingga 9 Oktober 2025, diikuti dengan sesi pembentangan akhir bagi sekolah yang disenarai pendek.

Penilaian pertandingan akan dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi aspek kecekapan penggunaan sumber asli, inovasi dan kreativiti, kebersihan serta penghijauan selain keupayaan pembentangan sejajar dengan pendekatan holistik dalam membentuk budaya sekolah berteraskan kelestarian.

Carlos Cano dalam pada itu menzahirkan  penghargaan terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan para guru, pelajar serta Pasukan Kerja LA21 MBSP bagi menjayakan penganjuran program itu lebih sedekad.

“Continental turut menyalurkan tajaan tahunan berjumlah RM27,900 sebagai tanda komitmen berterusan terhadap pembangunan pendidikan dan penjagaan alam sekitar.

“Kami berbangga kerana sebanyak 440 tan sisa telah berjaya dialihkan daripada tapak pelupusan dengan penganjuran anugerah ini.

“Anugerah Sekolah Hijau bukan sahaja satu bentuk pengiktirafan, malah menjadi medium pendidikan yang menyemai kesedaran dan menggalakkan amalan kelestarian dalam kalangan pelajar, khususnya dalam aspek kitar semula,” katanya.

Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD