BAGAN DALAM – Dibina pada tahun 1928, Pasar Awam Jeti Lama di Jalan Pasar di sini akan dinaik taraf semula bagi memelihara bangunan warisan sedia ada untuk dihargai komuniti masa kini serta generasi akan datang.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran memaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memperuntukkan sebanyak RM3.84 juta bagi kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bernilai warisan itu.
Menurutnya, semua penjaja dan peniaga asal yang terlibat akan dipindahkan ke tapak perniagaan sementara di kawasan sama mulai awal November depan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penaiktarafan pasar awam tersebut.
Buletin Mutiara difahamkan, syarikat kontraktor yang dilantik, Wortek Engineering Sdn. Bhd., telah memulakan kerja-kerja penaiktarafan sejak 1 Ogos lalu. Projek rejuvenasi ini dijangka mengambil masa 18 bulan dan disiapkan sepenuhnya pada 31 Januari 2027.
Turut hadir pada sidang media ringkas itu ialah mantan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; Pengarah Kejuruteraan MBSP, Mohd. Syukri Said; serta beberapa Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS