Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR AACOB
GEORGE TOWN – Ramkarpal Singh , 38, berjaya mempertahankan kemenangan bagi kerusi Parlimen Bukit Gelugor yang dikosongkan mendiang ayahnya, Karpal Singh dengan 37,659 undi majoriti, walaupun jumlah keluar mengundi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya 56.04 peratus.
Kemenangan itu sekaligus menyaksikan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan serta dua calon BEBAS lain, Mohd. Nabi Bux Mohd. Abdul Sathar dan Abu Backer Sidek Mohammad Zan masih-masing hilang wang pertaruhan, dengan direkodkan 539 sebagai undi rosak.
Bercakap kepada wartawan, Ramkarpal menganggap kejayaannya itu adalah hadiah buat ayahnya.
“Kemenangan ini adalah untuk mendiang ayah saya, Karpal Singh kerana beliau merupakan sumber inspirasi,” ujarnya di Pusat Penjumlahan Undi SPR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor dekat Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.
Menurut Ramkarpal, undi mojiriti yang diperolehnya kemungkinan lebih tinggi sekiranya lebih ramai pengundi berdaftar melakukan tanggungjawab masing-masing demi negara.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pula menyifatkan kemenangan Ramkarpal sebagai suatu kesinambungan pada perjuangan yang ditinggalkan oleh mendiang Karpal Singh, yang terlibat dalam nahas jalan raya pada 17 April lepas.
“Kemenangan ini memastikan kita semua (Pakatan Rakyat) dapat meneruskan perjuangan mendiang Karpal Singh,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada sidang media sama.
Tambah Guan Eng, PRK ini sekaligus menunjukkan Ramkarpal menerima sokongan paling kuat, sehingga ketiga-tiga calon lain masingmasing hilang deposit RM15,000.
Selain itu, katanya lagi, PRK itu juga boleh dianggap sebagai representasi rakyat membantah amalan politik samseng membabitkan penyokong Pembangkang Pulau Pinang serta membantah langkah Kerajaan Pusat mahu melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di tanah air ini.
“Kalau dicampur ketiga-tiga undi calon tadi, masih akan hilang deposit. Maaf, tiada deposit bagimu,” seloroh Guan Eng.